Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
SEPANG, 7 Sept (Bernama) -- Ketika letusan Anak Krakatau mengganggu perjalanan udara antara Malaysia dan Indonesia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memastikan ribuan penumpang yang terjejas terus mendapat perhatian, keselesaan dan bantuan menerusi pendekatan “Malaysian Hospitality”.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang dan Operasi KLIA Abd Hasman Abd Muhimin berkata gangguan itu menjejaskan 6,279 penumpang membabitkan 59 penerbangan berlepas di Terminal 1 dan Terminal 2 sejak semalam, namun setakat ini hanya 59 penumpang masih berada di KLIA.
Beliau berkata sebahagian besar penumpang telah dibantu mendapatkan penginapan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, manakala ada yang meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Indonesia seperti Surabaya dan Aceh sebelum menuju ke Jakarta melalui jalan darat.
“Kami terus memberikan bantuan kepada penumpang agar mereka dapat berada di KLIA dengan selesa dan juga mendapat perhatian oleh pihak syarikat penerbangan,” katanya kepada Bernama dan TV3 selepas meninjau keadaan penumpang di ruang menunggu khas di KLIA Terminal 1 di sini hari ini.
Abd Hasman berkata sebaik menerima pemakluman mengenai penutupan ruang udara Jakarta, KLIA mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis Lapangan Terbang (ACMT) yang menghimpunkan Malaysia Airports, syarikat penerbangan, pengendali darat dan pihak berkuasa berkaitan bagi menyelaras pengurusan penumpang terjejas.
Beliau berkata sebanyak 11 lokasi turut disediakan di bangunan satelit, Contact Piers dan terminal sebagai ruang menunggu sementara untuk penumpang mendapatkan perkembangan terkini mengenai penerbangan masing-masing, selain minuman dan jamuan ringan.
Bagi penumpang yang memerlukan penginapan di luar lapangan terbang, katanya, laluan khas turut disediakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan bagi memudahkan pergerakan mereka ke hotel yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
Abd Hasman berkata bantuan yang diberikan bukan sekadar tertumpu kepada urusan penerbangan, malah petugas KLIA sentiasa memantau keadaan dan keperluan penumpang, terutama mereka yang terpaksa menunggu dalam tempoh lama.
“Kita juga dari semasa ke semasa memberikan bantuan dari segi psikologi, kita tegur, kita tanya keadaan mereka dan juga kita bertanya adakah mereka memerlukan hotel,” katanya sambil menambah keluarga yang membawa kanak-kanak kecil turut diberikan perhatian.
Beliau berkata sekiranya gangguan penerbangan berlarutan, KLIA mempunyai prosedur sedia ada bagi memastikan kebajikan penumpang terus terpelihara dan tekanan ketika menunggu dapat dikurangkan, termasuk menyediakan ruang sementara yang dilengkapi kemudahan asas.
Usaha berkenaan turut mendapat pujian penumpang yang terpaksa menunggu lama di KLIA bagi mendapatkan perkembangan mengenai penerbangan masing-masing.
Bagi Keiza Bella, 20, warga Indonesia yang menyertai rombongan lawatan sambil belajar ke Singapura dan Malaysia, layanan petugas KLIA membantu mengurangkan tekanan dihadapinya selepas penerbangan ke Jakarta dibatalkan buat kali kedua.
“Bagus! Mereka memberikan informasi apabila ada pembatalan dan lain sebagainya,” katanya sambil menambah situasi itu tidak menyebabkan beliau terlalu tertekan walaupun sudah beberapa hari menunggu untuk meneruskan perjalanan.
Sementara itu, seorang lagi penumpang warga Indonesia berusia lingkungan 50-an, Fintje Jovita Wondal yang bercuti bersama keluarga, berkata beliau memahami pembatalan penerbangan berpunca daripada bencana alam dan bukan disebabkan syarikat penerbangan.
“Sampai sekarang arahan di sini cukup bagus. Terima kasih untuk pelayanan semuanya,” katanya.
Gangguan penerbangan berlaku susulan abu gunung berapi Anak Krakatau yang menjejaskan operasi penerbangan antara Malaysia dan Indonesia, dengan penutupan ruang udara Jakarta setakat ini dimaklumkan berkuat kuasa sehingga 7 malam ini.
Penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan hari ini dan esok dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini, selain mendapatkan bantuan di kaunter informasi Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
-- BERNAMA