KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Sebanyak 316 murid menjadi kumpulan pertama memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, Kulai, Johor, yang beroperasi secara rasmi hari ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pengoperasian awal sekolah itu melibatkan kelas prasekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), serta murid tahun dua, tiga dan lima.
Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata pembukaan sekolah berkenaan akan membantu mengurangkan kesesakan murid di SK Bandar Putra dan SK Putra Utama susulan perkembangan pesat kawasan perumahan sekitar.
“Pengoperasian ini bakal memastikan anak-anak tempatan dapat menuntut ilmu dalam suasana yang lebih selesa, kondusif dan tidak bersesak,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata projek itu dicadang dan dirancang ketika beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan bagi menangani isu kepadatan murid di kawasan berkenaan.
Teo berkata majlis pecah tanah dilaksanakan pada Ogos 2021 sebelum pembinaan fizikal disiapkan sepenuhnya dan sekolah itu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada Nov 2025.
Sekolah ke-76 di daerah Kulai itu mempunyai 36 bilik darjah, selain kemudahan prasekolah dan PPKI.
Teo berkata tumpuan seterusnya adalah mengawal selia pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra 3, yang merangkumi 42 bilik darjah dan diluluskan dalam Belanjawan 2026, dengan kerja ukur serta ujian struktur tanah sedang dilaksanakan.
Bernama sebelum ini melaporkan SK Bandar Putra 2 adalah antara tiga sekolah baharu di Johor yang dijadual mula beroperasi hari ini.
-- BERNAMA