Aspirasi Golongan Muda Perlu Difahami Dalam Mendepani Cabaran Bina Keluarga - KPWKM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Aspirasi golongan muda untuk membina kehidupan dan keluarga pada masa hadapan perlu difahami secara lebih menyeluruh khususnya dalam konteks cabaran ekonomi, pekerjaan, perumahan, sokongan sosial dan keseimbangan tanggungjawab penjagaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia kini sedang melalui perubahan demografi yang semakin ketara termasuk penurunan kadar kesuburan, peningkatan umur perkahwinan, perubahan struktur keluarga serta pertambahan bilangan penduduk berusia.
Menurut kenyataan itu, dapatan kajian antarabangsa Demographic Futures Survey oleh United Nations Population Fund (UNFPA) melibatkan lebih 100,000 responden muda berumur 18 hingga 39 tahun di 73 negara menunjukkan bahawa keinginan untuk berkahwin dan mempunyai anak masih wujud dalam kalangan golongan muda.
Bagaimanapun, aspirasi itu sering tertangguh akibat kekangan ekonomi, kos sara hidup, akses perumahan, ketidaksamaan gender dan kebimbangan terhadap masa depan.
Di Malaysia, trend itu turut ditunjukkan menerusi peningkatan umur purata perkahwinan bagi tempoh 2016 hingga 2024, iaitu lelaki daripada 30.0 kepada 31.2 tahun, manakala perempuan daripada 27.5 kepada 29.1 tahun.
"Perubahan ini memberi kesan kepada tempoh reproduktif pasangan, bilangan kelahiran dan hala tuju pembangunan keluarga negara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu KPWKM memaklumkan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kependudukan, pembangunan keluarga, kesihatan reproduktif dan pembangunan mampan.
"Tema sambutan pada tahun ini, 'Merealisasikan Harapan dan Aspirasi Golongan Muda: Hari Ini dan Masa Hadapan', memberi penekanan kepada peranan anak muda sebagai generasi penentu masa depan negara," menurut kenyataan itu.
Sempena sambutan itu, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menganjurkan Seminar Hasil Geran Penyelidikan 2025 pada 14 hingga 15 Julai di Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), Bangunan Sulaiman, di sini.
Seminar yang diadakan dengan kerjasama UNFPA Malaysia dan Universiti Malaya (UM) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada penggubal dasar, pegawai agensi kerajaan, ahli akademik, penyelidik, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, pelajar dan rakan strategik.
Maklumat lanjut berkaitan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 dan program kependudukan LPPKN boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi LPPKN dan Malaysia Population Research Hub (MPRH).
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Lebih 40 Peratus Keluar Undi Setakat 1 Tengah Hari
- 77 Pelatih PLKN Diberi Kelonggaran Tunai Tanggungjawab Mengundi
- PRN Johor: 90 Laporan Polis Diterima, Tidak Libatkan Calon Atau Parti Bertanding - KPN
- Sektor Kreatif Indonesia Manfaatkan AI, Buka Peluang Kerjasama Dengan Selangor
- Tiga Lelaki Bersenjata Parang Samun Kedai Runcit, Larikan Barang Kemas