11/07/2026 02:13 PM

Sektor Kreatif Indonesia Manfaatkan AI, Buka Peluang Kerjasama Dengan Selangor

Daripada Harizah Hanim Mohamed

BANDUNG, 11 Julai (Bernama) – Sesi lawatan ke industri kreatif menerusi program Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)@ASEAN, menyerlahkan lagi kepentingan kecerdasan buatan (AI) yang terus menyokong infrastruktur kehidupan seharian, selain membolehkan Selangor dan Indonesia meneroka peluang kerjasama dan penggunaan teknologi itu.

Kesempatan mengunjungi syarikat-syarikat kreatif berpangkalan di Bandung, turut mengetengahkan bagaimana AI dapat dimanfaatkan melangkaui aspek kreatif dan hiburan bagi membangunkan penyelesaian bagi tujuan pemuliharaan warisan, pendidikan serta berkaitan perkhidmatan keagamaan.

Salah satu syarikat, Curaweda Palagan Innotech, banyak terbabit dalam sistem pengurusan bersepadu dan AI generatif, malah turut membangunkan platform dinamik menggabungkan penyelarasan, memperkemas proses membuat keputusan serta memacu kecekapan menerusi pandangan pintar dalam masa nyata. 

Syarikat itu turut menawarkan penyelesaian bagi pemeliharaan dan pemuliharaan budaya serta warisan Indonesia menerusi pendigitalan menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Curaweda Azhar Muhammad Fuad, berkata syarikat itu bekerjasama dengan pihak muzium bagi membangunkan Lorong Waktu Sejarah (Lotus) yang mencetuskan nilai tambah kepada pelancongan sejarah dan budaya menerusi pendigitalan koleksi muzium serta aset warisan.

“Ini penting memandangkan pendanaan menjadi satu isu bagi muzium kerana tiada dana mencukupi bagi aspek pengendalian. Pada masa sama, sudah tiba masanya bagi artifak sejarah untuk tidak lagi dipamerkan dalam kotak kaca,” katanya kepada delegasi yang menyertai lawatan anjuran Edisi Bandung SIBS@ASEAN

Beliau berkata syarikat itu menggunapakai AI yang beretika iaitu setiap input dan output boleh disahkan secara saintifik dengan panduan secara langsung daripada ahli sejarah, ahli arkeologi serta pemerintah tradisional.

“Semua artifak, watak dan objek lain diperoleh secara langsung daripada rujukan utama dan setiap peringkat pula disahkan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas impak kewangan, Azhar berkata hasil bulanan di Keraton Kasepuhan Cirebon melonjak daripada antara 50 juta rupiah hingga 100 juta rupiah kepada antara 100 juta rupiah hingga 200 juta rupiah selepas integrasi AI dalam pengalaman pengunjung.

Di samping meningkatkan pengalaman pengunjung, beliau berkata platform itu turut membolehkan muzium dan tapak bersejarah menyelami tingkah laku pengunjung dengan lebih baik menerusi analitik yang dijana AI.

Menerusi penggunaan data yang dikumpul daripada platform itu, kalangan pengendali atau operator muzium dan warisan dapat mengenal pasti aspek demografi pengunjung, corak pergerakan, perbelanjaan serta tarikan yang meraih penyertaan tertinggi.

“Data ini membantu pihak muzium dan tapak bersejarah ini merangka program, pameran serta pakej pelancongan yang lebih menepati minat pengunjung selain mewujudkan peluang perniagaan baharu untuk komuniti sekitar dan vendor tempatan.

“Kami mendapati kira-kira 30 peratus pengunjung hadir kerana integrasi AI oleh Curaweda. (Menerusi pendekatan ini), bayangkan wajah, ciri-ciri dan watak tokoh purba dicipta semula menggunakan AI, sekali gus membolehkan generasi muda membayangkan serta mendalami peristiwa yang berlaku pada masa lampau,” katanya.

Selain aspek pemuliharaan warisan, teknologi imersif turut digunapakai dalam pendidikan keagamaan.

Syarikat Metadigi, misalnya sedang membangunkan platform simulasi haji berasaskan realiti maya (VR) bagi membantu bakal jemaah mendalami perjalanan ke Makkah sebelum berangkat.

Wakil syarikat itu berkata program simulasi berkenaan dijangka siap pada September tahun ini.

Menurutnya, ini memandangkan cabaran semasa dalam latihan haji termasuk ruang yang terhad, simulasi tidak realistik serta sesi latihan praktikal secara bersemuka yang perlu dijalankan dalam kumpulan besar dan memerlukan lokasi besar.

“Penyelesaian kami menggabungkan perisian VR yang khusus, pergerakan serta simulasi rukun haji mengikut panduan bagi memberikan pengalaman latihan lebih imersif serta realistik.

“Platform ini melengkapi sesi praktikal bersemuka sedia ada dengan membolehkan kalangan bakal jemaah ini membiasakan diri dengan setiap peringkat ibadah haji sebelum ke Tanah Suci,” katanya.

Teknologi itu juga mempunyai potensi pasaran yang besar, mengambil kira kuota haji tahunan Indonesia sekitar 221,000 jemaah serta senarai menunggu semasa kira-kira 5.7 juta orang.

Indonesia mencatatkan kira-kira 1.6 juta jemaah umrah pada tahun lepas, sekali gus membuka satu lagi pasaran besar bagi penyelesaian latihan haji berasaskan teknologi imersif.

Sesi lawatan industri itu turut memaparkan perkembangan sektor kreatif Indonesia yang melangkaui hiburan dengan teknologi lazimnya dikaitkan dengan animasi, permainan video ketika AI semakin menyokong usaha pemuliharaan warisan, pendidikan keagamaan dan perkhidmatan awam lain.

Dalam kunjungan ke Akademi Agate iaitu cabang pendidikan di bawah pembangun permainan video Indonesia, Agate, Ketua Pegawai Eksekutifnya Restya Winda Astari berkata akademi itu melengkapkan bakal pembangun permainan video berusia 16 tahun ke atas dengan peralatan bertaraf industri serta kemahiran praktikal sejajar dengan keperluan industri itu.

Beliau turut menyifatkan ekosistem pembangunan permainan video Malaysia sebagai lebih maju berbanding Indonesia, sekali gus membuka peluang pertukaran pengetahuan dan kerjasama di peringkat serantau.

“Setakat yang saya tahu, kami belum mempunyai sebarang program bersama Malaysia, tetapi berharap dapat mengadakan program kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pada itu, delegasi Selangor turut mengunjungi beberapa hab industri di serata Jawa Barat bagi meninjau peluang kerjasama dalam enam sektor utama.

Program itu meliputi sektor aeroangkasa, rel dan mobiliti, industri kreatif selain tenaga dan utiliti dengan perbincangan menumpukan kesalinghubungan rentas sempadan, inovasi digital serta tenaga boleh baharu.

Delegasi itu turut bertemu pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan hartanah dan teknologi bagi mendapatkan pandangan mengenai perancangan bandar, ekosistem inovasi, taman teknologi selain penyelesaian bandar pintar.

Pada masa sama, lawatan itu mencerminkan peningkatan peluang kerjasama antara ekosistem kreatif dan inovasi Selangor serta Indonesia menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 pada 14 hingga 17 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

--  BERNAMA