Fahmi Fadzil Terima Darjah DPPN, Bergelar Datuk Seri
GEORGE TOWN, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri” (Dato' Seri), bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib hari ini.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI mendahului senarai 230 individu yang menerima darjah kebesaran pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2026 di Dewan Sri Pinang di sini hari ini, sekali gus menjadi penerima tunggal DPPN tahun ini.
Selain Fahmi, 19 individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran “Datuk Seri”, antaranya Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd Datuk Abdul Halim Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian.
Sementara itu, sembilan individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN), manakala 72 lagi menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran “Datuk”.
Bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail menerima DMPN, manakala penerima DSPN termasuk pelakon filem terkenal yang juga pengarah dan penulis skrip Cathay-Keris Film Productions Allahyarham Nordin Ahmad, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim serta Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Terdahulu Tun Ramli dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah tiba pada 8.45 pagi bagi menyempurnakan istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini serta pada 13, 14 dan 15 Julai menyaksikan 101 individu menerima darjah kebesaran, manakala 1,120 lagi dianugerahkan bintang dan pingat kehormatan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Lebih 40 Peratus Keluar Undi Setakat 1 Tengah Hari
- 77 Pelatih PLKN Diberi Kelonggaran Tunai Tanggungjawab Mengundi
- PRN Johor: 90 Laporan Polis Diterima, Tidak Libatkan Calon Atau Parti Bertanding - KPN
- Sektor Kreatif Indonesia Manfaatkan AI, Buka Peluang Kerjasama Dengan Selangor
- Tiga Lelaki Bersenjata Parang Samun Kedai Runcit, Larikan Barang Kemas