10/07/2026 11:25 PM

Abang Johari Mahu Sibu Jadi Bandar Pintar Rendah Karbon

SIBU, 10 Julai (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu Sibu distruktur semula sebagai bandar pintar rendah karbon yang dipacu teknologi baharu, ekonomi hijau dan pembangunan berasaskan pelan induk bagi memastikan bandar itu terus berdaya saing pada masa hadapan.

Beliau berkata Sibu tidak lagi boleh bergantung kepada industri perkayuan seperti sebelum ini, sebaliknya perlu beralih kepada ekonomi baharu yang selari dengan agenda pembangunan rendah karbon serta perubahan landskap ekonomi global.

"Dunia telah berubah dan kita perlu membangunkan Sibu dengan pendekatan baharu yang memenuhi keperluan semasa. Bandar ini juga mesti dibangunkan berpandukan pelan induknya," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat Bahagian Sibu, di sini malam ini.

Beliau berkata pembangunan Sibu akan dipacu menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dengan sokongan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), yang masing-masing menerima peruntukan RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek mengikut keperluan tempatan menerusi pendekatan pembangunan dari bawah ke atas.

Beliau berkata pendekatan itu memberi tumpuan kepada pemeliharaan hutan, ekonomi hijau, perdagangan karbon serta penggunaan teknologi baharu bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Abang Johari berkata kerajaan negeri turut merancang penstrukturan semula bandar Sibu yang memerlukan pelaburan besar, selaras dengan usaha meningkatkan hasil negeri bagi membiayai pembangunan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.

Menyentuh aspek infrastruktur, beliau berkata pelaksanaan Jalan Trunk Kedua yang menghubungkan Kuching, Sri Aman dan Sibu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah Sarawak.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata pemimpin masyarakat perlu diperkasakan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi menjelaskan dasar pembangunan serta perubahan yang sedang dilaksanakan.

Beliau turut menggesa rakyat, khususnya golongan muda, menguasai ilmu dan teknologi baharu, termasuk penggunaan platform digital, S Pay Global, inovasi pertanian seperti teknologi padi berhasil tinggi serta konsep waste-to-wealth bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

Abang Johari berkata peningkatan hasil negeri membolehkan Sarawak meneruskan pelbagai projek pembangunan berasaskan kekuatan sendiri, disokong kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negeri.

"Sarawak mesti bergantung kepada kekuatan sendiri. Jika Sarawak kuat, Malaysia juga akan menjadi kuat," katanya.

-- BERNAMA