10/07/2026 10:16 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai peningkatan paras stok dalam negara, prestasi eksport yang perlahan berbanding jangkaan serta penurunan harga minyak mentah dan minyak kacang soya.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai peningkatan stok minyak sawit Malaysia hampir lima peratus bulan ke bulan pada Jun telah menjejaskan sentimen pasaran kerana menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan yang berlebihan.

"Peniaga akan terus memantau permintaan eksport, paras inventori, pergerakan harga minyak makan yang menjadi pesaing serta harga minyak mentah untuk mendapatkan petunjuk baharu mengenai hala tuju pasaran.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 satu tan dan paras rintangan pada RM4,680 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Menurut MPOB, stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.78 peratus atau 116,123 tan kepada 2.54 juta tan pada Jun 2026 berbanding 2.43 juta tan pada bulan sebelumnya manakala stok MSM naik 3.75 peratus atau 48,153 tan kepada 1.33 juta tan pada Jun daripada 1.28 juta tan pada Mei 2026.

Dari segi pengeluaran, MPOB memaklumkan pengeluaran MSM meningkat 8.08 peratus atau 122,450 tan kepada 1.64 juta tan daripada 1.52 juta tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit turut menokok 8.16 peratus bulan ke bulan kepada 381,480 tan daripada 352,697 tan.

Menurut MPOB, eksport minyak sawit menokok 6.19 peratus kepada 1.20 juta tan pada Jun 2026 berbanding 1.13 juta tan pada bulan sebelumnya manakala eksport minyak isirung sawit menurun 2.64 peratus kepada 83,712 tan.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2026 menyusut RM27 kepada RM4,455 satu tan, Ogos 2026 dan Oktober 2026 masing-masing turun RM80 kepada RM4,476 dan RM4,547, September 2026 susut RM81 kepada RM4,513, November 2026 rendah RM77 kepada RM4,582 dan Disember 2026 berkurangan RM77 kepada RM4,612.

Jumlah dagangan meningkat kepada 113,131 lot berbanding 84,918 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 286,062 kontrak daripada 284,416 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan susut RM40 kepada RM4,490 satu tan.

-- BERNAMA