11 Maut Dalam Kebakaran Hutan Di Selatan Sepanyol - Perkhidmatan Kecemasan
MOSCOW, 10 Julai (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban selepas kebakaran hutan tercetus di Wilayah Almeria, selatan Sepanyol pada Khamis, menurut perkhidmatan kecemasan Andalusia kepada Sputnik/RIA Novosti pada Jumaat.
"Seramai 11 orang disahkan maut dalam kebakaran itu, bukannya 12 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini," kata seorang wakil perkhidmatan berkenaan.
Menurut perkhidmatan kecemasan itu, beberapa mangsa ditemukan di dalam kenderaan yang terbakar marak.
Timbalan Ketua Kerajaan Wilayah Andalusia, Antonio Sanz berkata sebahagian besar atau kesemua mangsa yang maut di Almeria berkemungkinan merupakan warga asing, namun menegaskan perkara itu masih belum disahkan.
Beliau berkata: "Empat daripada mangsa dipercayai warga Britain memandangkan kereta di mana mayat mereka ditemukan adalah kenderaan pemanduan sebelah kanan."
Kerajaan wilayah memaklumkan bahawa kira-kira 1,000 orang telah dipindahkan dan ditempatkan di sebuah astaka sukan di Perbandaran Garrucha, serta di sebuah pusat dan astaka sukan di Mojacar.
Kebakaran hutan itu mula tercetus pada 9 Julai di Perbandaran Los Gallardos dalam Wilayah Almeria. Api marak dengan pantas merentasi kawasan hutan dan menjejaskan kawasan seluas kira-kira 3,150 hektar.
Operasi memadam kebakaran dilaporkan menghadapi kesukaran ekoran muka bumi yang mencabar dan dipenuhi banyak gaung. Ratusan pakar, pesawat, serta anggota tentera telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Seiring Penyusutan Harga Emas COMEX
- Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta