Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta
KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan merasmikan Kompleks Belia dan Sukan Pahang (KOMBES) di sini hari ini.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 sempena Festival Belia Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata pembinaan KOMBES membabitkan kos RM30 juta dan dijangka menjadi hab pembangunan belia serta sukan negeri.
Beliau berkata kemudahan itu amat dinantikan golongan belia di Pahang untuk menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan diri, sukan dan rekreasi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas peruntukan besar bagi pembinaan KOMBES ini. Kemudahan ini sememangnya dinanti-nantikan oleh golongan belia di negeri ini," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KBS Datuk Rahimi Ismail berkata kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan, taman papan luncur (skatepark) dan kemudahan panjat dinding (wall climbing).
"Kita berharap kompleks ini digunakan sepenuhnya dan kementerian akan terus menambah baik kemudahan yang disediakan dari semasa ke semasa," katanya.
Mengenai operasi KOMBES, Rahimi berkata kompleks itu dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh kira-kira sebulan selepas proses ujian dijalankan bagi memastikan semua fasiliti berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata kadar sewaan serta tempahan penggunaan fasiliti akan diumumkan selepas tempoh berkenaan dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal KBS.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadzli berkata KBS meluluskan peruntukan melebihi RM7 juta untuk menaik taraf beberapa fasiliti di Stadium Darul Makmur, termasuk lampu limpah, tempat duduk, sistem pendawaian dan kerja kalis air.
Selain projek naik taraf Stadium Darul Makmur, beliau berkata KBS turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi kerja membaik pulih litar drag motor di Pekan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Abang Johari Mahu Sibu Jadi Bandar Pintar Rendah Karbon
- Anwar Kesal Serangan Sanusi, Tegas Tidak Pinggir Pembangunan Kedah
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos