Pengiktirafan Bersama Halal D-8 Bergantung Pada Kesepakatan, Kerjasama Awam-Swasta
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 10 Julai (Bernama) -- Sebarang usaha ke arah Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) bagi sijil halal dalam kalangan negara anggota D-8 memerlukan perbincangan yang menyeluruh serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Farzamie Sarkawi berkata proses itu memerlukan pembinaan kesepakatan yang meluas memandangkan setiap negara anggota D-8 mempunyai agensi dan badan masing-masing yang mengendalikan pensijilan halal.
"Bagi mengiktiraf satu logo, ia mungkin memerlukan kesepakatan daripada semua pihak kerana setiap negara mempunyai agensi dan badan sendiri. Oleh itu, memastikan semua pihak menerima dan memahami kepentingan pengiktirafan bersama logo halal merupakan satu usaha yang memerlukan kempen tersendiri," katanya kepada Bernama di luar D-8 Halal Expo Indonesia 2026 pada Jumaat.
Farzamie berkata inisiatif itu juga perlu dipacu oleh sektor swasta kerana golongan itu lebih memahami peluang komersial dan manfaat ekonomi hasil integrasi pasaran halal yang lebih meluas, manakala kerajaan memainkan peranan penting dalam memudah cara perbincangan dan kerjasama.
Merujuk pengalaman Malaysia dengan Indonesia, beliau berkata kedua-dua negara jiran itu hanya mencapai pengiktirafan bersama sistem pensijilan halal masing-masing pada 2023 walaupun telah lama menjalinkan hubungan perdagangan yang erat.
Beliau berkata pengaturan dua hala itu membuktikan kerjasama halal yang lebih erat mampu dicapai, namun ia memerlukan penglibatan berterusan serta komitmen daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum kesepakatan dapat dicapai.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Sosiobudaya dan Perkongsian Strategik Kementerian Luar Indonesia Ary Aprianto berkata perbincangan mengenai MRA halal dalam kalangan negara anggota D-8 masih tertumpu kepada kerjasama dua hala.
Beliau berkata D-8 Halal Expo Indonesia yang julung kali diadakan menandakan penyertaan semua negara anggota D-8 buat pertama kali, sambil menambah bahawa ketika ini tiada perancangan atau perbincangan untuk mewujudkan MRA halal pelbagai hala yang melibatkan kesemua lapan negara anggota.
"Setakat ini, perbincangan mengenai MRA masih dilaksanakan sebagai urusan dua hala antara negara anggota D-8," katanya pada forum bertajuk Driving the Future Global: Strategic Synergies Between Indonesia, Malaysia, Bangladesh, and Egypt yang diadakan bersempena ekspo itu.
Ditubuhkan pada 1997, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8 dianggotai Azerbaijan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye, dengan Azerbaijan menjadi anggota kesembilan dan terbaharu blok itu selepas menyertai pertubuhan berkenaan pada 2025.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Seiring Penyusutan Harga Emas COMEX
- Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta