Keputusan PRN Johor Tidak Jejas Kerjasama Kerajaan Persekutuan - Ahmad Zahid
KULAI, 10 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) memberi jaminan bahawa apa jua keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok tidak akan menjejaskan kestabilan dan hubungan kerjasama parti-parti politik di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pentadbiran di peringkat pusat setakat ini berjalan seperti biasa dan beliau berharap momentum keharmonian itu akan terus kekal tanpa sebarang gangguan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata menteri dan timbalan menteri yang menganggotai pentadbiran Persekutuan sentiasa mengamalkan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi persaingan politik di Johor.
“Apa pun keputusan (PRN Johor) esok, setakat ini ia tidak mengganggu kerjasama kerajaan (Persekutuan) dan saya memang mengharapkan tidak ada gangguan... menteri, timbalan menteri semua profesional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Munajat BN Kulai di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata perbezaan politik di lapangan khususnya sepanjang PRN Johor tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anggota Jemaah Menteri duduk semeja demi kepentingan negara.
“Ya, mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu-isu yang boleh memenangkan calon masing-masing tetapi kita bermesyuarat dengan hikmah, dengan baik dan secara profesional di dalam setiap mesyuarat Kabinet,” katanya.
Beliau juga berharap seluruh ahli dan akar umbi, khususnya daripada BN dan Pakatan Harapan (PH), dapat mengawal emosi masing-masing selepas keputusan PRN Johor diumumkan.
“Saya harap semua pihak mengambil iktibar daripada kematangan yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua blok politik yang sentiasa bergerak secara profesional,” katanya.
Hari pengundian PRN Johor ke-16 berlangsung esok melibatkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Seiring Penyusutan Harga Emas COMEX
- Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta