KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan memperkenalkan insentif di bawah Belanjawan 2027 bagi teknologi alam sekitar, pencegahan pencemaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri, inovasi serta pelaburan kelestarian perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata insentif itu perlu merangkumi bantuan bagi pemantauan kualiti udara di tempat kerja, penambahbaikan sistem penapisan udara serta pelaburan untuk mencegah pencemaran dari puncanya.
“Bagi pengilang, jerebu boleh menjejaskan kesihatan dan kehadiran pekerja, mengganggu operasi luar dan logistik serta meningkatkan perbelanjaan bagi sistem penapisan udara, peralatan perlindungan dan pelarasan operasi.
“Oleh itu, pencegahan jerebu juga merupakan pelaburan dalam daya tahan dan daya saing industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata FMM amat bimbang dengan jerebu yang menjejaskan Malaysia dan negara jiran ASEAN, sambil memberi amaran bahawa keadaan itu menimbulkan risiko serius terhadap kesihatan awam, keselamatan pekerja, produktiviti ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Beliau mengakui pelbagai langkah serantau telah dilaksanakan, namun berkata keutamaan kini adalah untuk mempercepat pelaksanaannya, meningkatkan penyelarasan dan mencapai hasil yang boleh diukur dalam mencegah kebakaran serta mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Sehubungan itu, FMM mengemukakan lima tindakan utama, iaitu memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal; meningkatkan penguatkuasaan, mencegah kebakaran dari puncanya serta menggalakkan rantaian bekalan serantau yang bertanggungjawab dan mampan.
Tindakan lain termasuk mempercepat pembiayaan, penggunaan teknologi dan penyelidikan; serta melindungi pekerja dan masyarakat di samping memperkukuh akauntabiliti.
Mengenai pembiayaan, Lee menggesa usaha memperluas pengumpulan dana di bawah Kerangka Pelaburan ASEAN bagi Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu, yang disokong pada Ogos 2023.
Kerangka itu menyasarkan penggemblengan dana dianggarkan US$1.5 bilion menjelang 2030 bagi menangani punca utama jerebu.
Lee turut menggesa pengilang yang mendapatkan bahan mentah berasaskan pertanian dan hutan supaya memperkukuh kebolehkesanan sumber serta menjalin kerjasama lebih erat dengan pembekal, khususnya bagi bahan mentah dari kawasan berisiko mengalami kebakaran tanah dan gambut.
Beliau berkata syarikat perlu mengaktifkan pelan tindak balas jerebu dan kesinambungan perniagaan yang merangkumi komunikasi dengan pekerja, pelaporan kesihatan, aturan kerja yang selamat serta pelan kontingensi logistik.
Majikan juga perlu mempertimbangkan kelonggaran yang munasabah bagi pekerja yang terjejas akibat penutupan sekolah, katanya.
Lee berkata kelestarian alam sekitar dan daya saing industri perlu saling memperkukuh.
"Hasrat ASEAN untuk menjadi hab pembuatan dan pelaburan mampan yang terkemuka mungkin tidak tercapai jika jerebu terus berulang sehingga menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduknya.
“Usaha tidak seharusnya terhad kepada menangani jerebu apabila ia berlaku, sebaliknya ASEAN perlu mengambil langkah berperingkat untuk menghapuskan punca jerebu yang boleh dicegah,” katanya.
-- BERNAMA