10/07/2026 07:58 PM

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Permintaan Mata Wang Selamat Reda

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, apabila permintaan terhadap dolar sebagai mata wang selamat mereda.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0695/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0795 ketika ditutup semalam.

Ahli Strategi Pertukaran Wang Asing (FX) AmBank Group, Yim Soon Kah berkata dolar AS didagangkan rendah susulan perantara AS dan Iran dilaporkan akan meneruskan rundingan damai meskipun berlaku peningkatan tindakan ketenteraan baru-baru ini.

Hal tersebut sekali gus mengurangkan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat dan untuk meraih hasil lebih tinggi daripada Perbendaharaan AS, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada peringkat domestik, reaksi pasaran secara keseluruhannya neutral apabila mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, seiring jangkaan pasaran, pada Khamis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit kembali meningkat daripada beberapa penurunan ekoran penghindaran risiko baru-baru ini apabila AS melancarkan serangan udara sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran ke atas tiga kapal tangki tenaga.

Beliau berkata kenaikan semula mata wang tempatan disokong oleh penurunan harga minyak.

Ini menunjukkan pasaran belum mengambil kira peningkatan yang berpanjangan di Asia Barat, katanya.

"Memandangkan kebimbangan geopolitik menyederhana justeru, sebahagian daripada permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat mereda," katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit mencatat prestasi tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5148/5181 daripada 2.5091/5120 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.4572/4639 daripada 5.4654/4714.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6502/6559 daripada 4.6581/6633.

Ringgit rendah berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.

Unit domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1520/1561 daripada 3.1518/1558 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 225.2/225.6 daripada 224.8/225.1.

Ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2101/2302 daripada 12.1886/2064 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 6.61/6.62.

-- BERNAMA