Berhenti Gunakan Isu Pembebasan Najib Sebagai Modal Kempen Pilihan Raya - PM Anwar
KULAI, 10 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 agar berhenti menggunakan isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak sebagai modal kempen politik.
Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha membela nasib rakyat dan menguruskan ekonomi negara, bukannya terus mempolitikkan isu berkenaan memandangkan bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara.
"Itu Datuk (Seri) Najib (Razak) sekarang dalam penjara, jangan kacau dia... kalau tanya saya, sudah-sudahlah... tapi hutang (1MDB) kita bayar sekarang… sampai sekarang belum habis bayar," katanya ketika berucap di program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim serta calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern.
Anwar juga berkata kerajaan kini terpaksa menanggung beban hutang 1MDB mencecah RM51 bilion yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kemudahan rakyat jika tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kalau ada itu wang (dan) tak payah bayar (hutang) 1MDB, kita boleh bagi untuk sekolah, hospital, buat jalan dan bagi makan orang miskin... sekarang tak boleh,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Seiring Penyusutan Harga Emas COMEX
- Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta