Powerlifting Para Perlu Strategi Hadapi Format Baharu Glasgow 2026
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Skuad para powerlifting negara berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejayaan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun perancangan taktikal yang rapi perlu dirangka bagi menghadapi format pertandingan yang berbeza.
Jurulatih kebangsaan Jamil Adam berkata meskipun atlet negara memiliki peluang cerah untuk mencabar kedudukan terbaik, setiap aspek perlu diberi perhatian, terutama membabitkan sistem pengiraan mata yang digunakan dalam temasya berkenaan.
Beliau yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit dan mencatat keputusan membanggakan sekiranya persiapan dilakukan mengikut perancangan yang ditetapkan.
"Keupayaan kita berbanding negara-negara Komanwel, kita mempunyai peluang yang tinggi, tetapi pada masa sama kita perlu berhati-hati dalam membuat perancangan untuk pertandingan itu sendiri.
"Apa yang menjadikan Komanwel sangat mencabar ialah semua kategori bawah akan digabungkan, begitu juga kategori atas. Ia bukan hanya berdasarkan jumlah berat angkatan, tetapi turut mengambil kira berat badan atlet menerusi formula tertentu bagi menentukan kutipan mata.
"Atlet yang lebih ringan tetapi mampu mengangkat beban lebih berat akan mempunyai kelebihan," katanya selepas skuad negara menerima kunjungan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, di sini hari ini.
Jamil berkata buat masa ini hanya Nicodemus Maggoi Moses dan Bryan Junency Gustin berada di bawah kendaliannya di ibu negara, manakala pemenang pingat emas Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin, menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatihnya di Sarawak.
Beliau mengesahkan Bonnie yang juga juara bertahan kekal menjadi sandaran utama negara dalam kategori Lightweight (bawah 72 kilogram), manakala Nicodemus dan Bryan akan membuat penampilan sulung dalam kategori Heavyweight (melebihi 72 kilogram) pada temasya berkenaan.
Sementara itu, Nicodemus yang juga pemenang pingat emas Para ASEAN Thailand menyifatkan penampilan sulungnya di Sukan Komanwel sebagai cabaran baharu, terutama dalam menyesuaikan diri dengan sistem penggabungan kategori yang diperkenalkan.
"Persiapan saya berjalan baik dan saya akan cuba memberikan yang terbaik. Harapan saya adalah untuk memenangi pingat emas di Komanwel ini," katanya yang pernah melakukan angkatan terbaik 220 kilogram pada kejohanan di Thailand.
Dalam pada itu, Bryan yang juga abang kepada Bonnie menyifatkan peluang beraksi bersama adiknya di pentas terbesar itu sebagai motivasi tambahan untuk membantu menyumbang pingat kepada negara.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 11 Maut Dalam Kebakaran Hutan Di Selatan Sepanyol - Perkhidmatan Kecemasan
- Ancaman Keselamatan Maritim Di Selat Hormuz Kekal Pada Tahap "Tinggi"
- Malaysia Pamer Warisan Kulinari Di Finland
- Ibu Tiri Nizam Abu Bakar Titingan Meninggal Dunia Semalam
- Pengiktirafan Bersama Halal D-8 Bergantung Pada Kesepakatan, Kerjasama Awam-Swasta