10/07/2026 07:45 PM

IPR Insan Terus Diperkasakan, Beri Manfaat Kepada Usahawan B40 - Akmal Nasrullah

ARAU, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Ekonomi mahu terus memperkasakan pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Insan memandangkan manfaat menyeluruh menerusi program itu dapat dinikmati usahawan daripada kumpulan B40 selain pengguna.

Sehubungan dengan itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementeriannya memutuskan untuk memohon daripada Kementerian Kewangan bagi meneruskan program itu untuk tempoh berikutnya.

“Hasil pemantauan pihak kementerian saya di lapangan menunjukkan pelaksanaan program berkenaan memberikan manfaat menyeluruh kepada peserta dan pelanggan, terutamanya usahawan B40, manakala pelanggan dapat menikmati harga sangat munasabah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Akmal Nasrullah meninjau pelaksanaan IPR Insan melibatkan dua mesin layan diri yang membolehkan usahawan memasarkan makanan dimasak kepada warga kampus selain melawat Food Bank dan Dapur Siswa MADANI.

Beliau berkata pendekatan mesin layan diri itu menghubungkan usahawan daripada kumpulan B40 dengan pengguna melalui penyediaan makanan dimasak pada harga minimum, sekali gus membantu mahasiswa mendapat makanan pada harga berpatutan.

Akmal Nasrullah turut merakamkan penghargaan kepada UniMAP, sukarelawan mahasiswa dan pihak swasta yang menjayakan pelaksanaan Food Bank serta Dapur Siswa MADANI bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara supaya mereka dapat memberikan tumpuan kepada pengajian.

Sementara itu, dalam kenyataan UniMAP bersempena dengan lawatan kerja Menteri Ekonomi itu, lawatan berkenaan melibatkan dua lokasi mesin IPR, iaitu di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman dan Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah.

UniMAP memaklumkan lawatan Menteri Ekonomi itu bagi meninjau sendiri impak pelaksanaan inisiatif tersebut dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui platform perniagaan yang lebih sistematik dan mudah diakses.

“Di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman, peserta program Norleyana Nordin yang mengusahakan jualan makanan home-made melalui mesin layan diri, merekodkan purata jualan bulanan sebanyak RM2,178.80, dengan jualan tertinggi sebanyak RM4,905 pada Januari lepas.

“Di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah pula, Noor Hasfalela Mohd Noor berjaya mencatat purata jualan bulanan sebanyak RM4,595, dengan jualan tertinggi direkodkan pada Januari lepas berjumlah RM10,012, diikuti Februari dengan RM5,049 dan April merekodkan jualan RM4,868,” menurut UniMAP.

UniMAP memaklumkan pencapaian itu membuktikan bahawa pelaksanaan Mesin Layan Diri IPR bukan sahaja memudahkan warga kampus mendapatkan makanan lebih cepat dan mudah, tetapi juga berjaya membuka peluang kepada usahawan menjana pendapatan secara mampan menerusi penggunaan teknologi dan pendekatan perniagaan yang inovatif.

-- BERNAMA