10/07/2026 07:33 PM

Danial Amier Rekrut Terbaharu Terengganu FC

KUALA NERUS, 10 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mengumumkan pemain tengah berpengalaman Muhammad Danial Amier Norhisham sebagai rekrut terbaharu pasukan itu bagi menghadapi saingan musim ini.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemain berusia 29 tahun itu yang mewakili Kuching City FC sebelum ini telah menandatangani kontrak selama setahun dengan TFC bermula Julai 2026 hingga Mei 2027.

Beliau berkata kehadiran bekas tonggak skuad Harimau Malaya itu diharap dapat memantapkan jentera di bahagian tengah, sekali gus membantu skuad Penyu mencapai sasaran yang ditetapkan bagi musim 2026/2027.

"Danial Amier yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki pengalaman luas di arena liga tempatan dan juga pernah beraksi di pentas antarabangsa.

"Kehadirannya dilihat mampu memperkuat dan memberi lebih pilihan untuk jentera tengah yang boleh diibaratkan sebagai nadi yang menggerakkan seluruh pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Danial Amier dalam kenyataan sama menyatakan keazaman untuk bekerja keras dan memberi sepenuh komitmen kepada pasukan sama ada dalam setiap sesi latihan atau perlawanan.

Malah pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata beliau sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi dengan pasukan TFC yang mempunyai kelompok penyokong yang setia dan hebat.

"Sudah pasti corak permainan di tempat baharu berbeza dengan tempat lama. Oleh itu, saya berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan corak kejurulatihan jurulatih Nafuzi Zain, begitu juga keserasian dengan rakan pasukan lain," katanya.

Danial Amier merupakan pemain tempatan baharu pertama yang direkrut TFC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Semalam skuad Penyu turut mengumumkan kemasukan pemain import tengah baharu, Manuel Ott ke pasukan itu untuk tempoh kontrak setahun.

-- BERNAMA