10/07/2026 06:59 PM

IWK Dilantik Jadi Mentor Tiga Utiliti Air Sisa Indonesia

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dilantik Bank Pembangunan Asia (ADB) sebagai mentor kepada tiga utiliti pengurusan air sisa kumbahan di Indonesia di bawah program Water Organizations Partnerships for Resilience (WOP4R).

Pelantikan itu dimeterai menerusi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADB, IWK dan Dinas Pekerjaan Umum (Dinas PU) Kota Makassar, Dinas Pekerjaan Umum dan Perancangan Ruang (Dinas PUPR) Kota Jambi dan Dinas Pekerjaan Umum dan Perancangan Ruang (Dinas PUPR) Kota Pekanbaru.

Menurut IWK, kerjasama selama 18 bulan itu akan menumpukan kepada usaha  memperkukuh  keupayaan teknikal, kecemerlangan operasi serta daya tahan organisasi.

“Di bawah kerjasama itu, IWK akan menyediakan sokongan teknikal, bimbingan dan perkongsian pengetahuan bagi membantu ketiga-tiga utiliti melaksanakan pelan tindakan masing-masing, termasuk menambah baik prestasi operasi, pengurusan aset, aspek keselamatan serta penyampaian perkhidmatan,” menurut syarikat pembentungan itu dalam kenyataan hari ini.

Program WOP4R turut menerima pembiayaan bersama daripada Gates Foundation dan Japan Special Fund bagi menyokong usaha memperkukuh keupayaan utiliti pengurusan air sisa serta meningkatkan daya tahan sektor berkenaan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata pelantikan itu mencerminkan pengiktirafan serantau yang semakin meningkat terhadap kepakaran IWK, serta menggariskan kepentingan kerjasama antara syarikat utiliti dalam membangunkan perkhidmatan pengurusan air sisa yang berdaya tahan.

Beliau berkata pengalaman lebih tiga dekad menguruskan sistem pembetungan Malaysia membolehkan IWK membangunkan kepakaran dalam memperkukuh organisasi menerusi tenaga kerja berkemahiran, sistem yang berkesan, kerjasama strategik serta komitmen terhadap pembelajaran berterusan.

“Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk berperanan sebagai mentor utiliti kepada Makassar, Jambi dan Pekanbaru. Pelantikan ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap pengalaman IWK, malah turut membawa tanggungjawab untuk membantu memperkukuh sektor pengurusan air sisa di rantau ini.

“Melalui perkongsian ilmu pengetahuan, pembangunan keupayaan serta pembelajaran bersama, kita mampu memperkukuh institusi, memperkasakan modal insan dan memberikan manfaat yang berkekalan kepada komuniti,” katanya.

Tiga utiliti air sisa Indonesia itu adalah penerima manfaat di bawah Metropolitan Sanitation Management Investment Project, yang dibiayai oleh ADB bagi menyokong pembangunan sistem pembetungan berpusat serta loji rawatan air sisa kumbahan di bandar-bandar berkenaan. 

-- BERNAMA