EAIC Syor KDN, JPN Semak Semula Proses, Dokumen Kewarganegaraan Tujuh Pemain Naturalisasi
PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen kewarganegaraan yang diberikan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Ia merupakan antara enam syor dikemukakan Pasukan Petugas Khas EAIC (PPK EAIC) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] selepas menjalankan siasatan mengenai aduan yang diterima berhubung dengan isu kelulusan kewarganegaraan bagi tujuh orang pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Siasatan PPK EAIC melibatkan JPN dan Jabatan Imigresen (JIM) yang merupakan agensi-agensi di bawah KDN yang bertanggungjawab memproses dan meluluskan permohonan Permit Masuk dan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
Dalam kenyataan hari ini, EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen-dokumen kewarganegaraan melalui penaturalisasian yang telah diberikan kepada tujuh pemain di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan memandangkan dapatan EAIC menunjukkan bahawa terdapat ketidakaturan tersebut.
Syor lain adalah mewujudkan satu garis panduan dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah undang-undang dengan mengambil kira peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang menitikberatkan tempoh kemastautinan dalam negara sebagai satu asas kewarganegaraan yang diperakukan dan faktor penting juga dalam mempertimbangkan kelulusan untuk diberikan atas dasar keadaan khas.
“JPN dan KDN juga disyor mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkenaan pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
“JIM dan JPN bersama Polis Diraja Malaysia mewujudkan SOP khusus berkenaan tatacara pengendalian tapisan keselamatan yang ketat dan menyeluruh bagi tujuan kelulusan Permit Masuk dan kewarganegaraan,” menurut kenyataan itu.
EAIC memaklumkan hasil siasatan mendapati Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian menurut peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) selanjutnya menjalankan kuasa dan budi bicara dengan memberi kelulusan khas mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama negara menurut Perkara 19(2) dibaca bersama Seksyen 20(1)(e) Bahagian lll Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri atas sebab-sebab yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri untuk menghitung tempoh kemastautinan seseorang itu tidak berada di dalam Persekutuan boleh dianggap bermastautin di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan yang PPK EAIC mendapati bahawa pertimbangan kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Perkara-perkara tersebut antaranya mengenai ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk yang melibatkan proses temu duga dan tapisan keselamatan oleh JIM kepada pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
“Terdapat isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan,” menurut kenyataan itu.
EAIC berpandangan bahawa pemerolehan kewarganegaraan secara penaturalisasian adalah satu perkara yang melibatkan kepentingan dan keselamatan negara.
“SOP yang berkuat kuasa perlu dipantau untuk dipatuhi secara ketat oleh JIM dan JPN. Laporan Dapatan Siasatan EAIC ini telah diserahkan kepada KDN, JIM dan JPN untuk tindakan lanjut.
“PPK EAIC juga mengambil maklum bahawa laporan-laporan polis telah dibuat melibatkan isu pemalsuan dokumen yang telah diputuskan palsu oleh Mahkamah Timbangtara Sukan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, EAIC memaklumkan bahawa wajar perkara ini disiasat secara menyeluruh oleh agensi yang berkenaan dan selanjutnya dirujuk kepada pihak yang berkenaan memandangkan isu pemalsuan dokumen ini adalah di luar bidang kuasa EAIC di bawah Akta 700.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tentera Israel Larang Mufti Besar Baitulmuqaddis Masuki Masjid Al-Aqsa Selama Seminggu
- Laut China Selatan Mesti Kekal Sebagai Perairan Aman - Marcos
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Seiring Penyusutan Harga Emas COMEX
- Tengku Hassanal Rasmi KOMBES Pahang Bernilai RM30 Juta
- 11 Maut Dalam Kebakaran Hutan Di Selatan Sepanyol - Perkhidmatan Kecemasan