10/07/2026 03:16 PM

Calon Pengganti Starmer, Burnham Ancam Kenakan Sekatan Baharu Terhadap Israel

MOSCOW, 10 Julai (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Bakal pengganti Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer, bekas Datuk Bandar Manchester Andy Burnham mengancam mengenakan sekatan baharu terhadap Israel berhubung peluasan penempatan haram dan pelanggaran gencatan senjata di Gaza, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Khamis, Burnham mengumumkan pencalonannya bagi jawatan ketua Parti Buruh. 

Beliau berkata setakat ini, beliau merupakan satu-satunya calon.

Sekiranya tidak dicabar calon lain, Burnham berkemungkinan menjadi perdana menteri menjelang 20 Julai.

“Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. 

"Kita menyaksikan peningkatan keganasan pendatang haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, selain peluasan penempatan haram yang menyebabkan komuniti Palestin kehilangan tempat tinggal.

“Atas sebab itu, kita perlu mengambil tindakan lebih tegas, termasuk mempertimbangkan sekatan tambahan,” kata Burnham menerusi video yang dimuat naik di platform X pada Khamis.

Beliau berkata tentera Israel terus memperluas kehadirannya di Semenanjung Gaza dan menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjejaskan prospek penyelesaian dua negara.

Burnham turut menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang sepanjang perang Gaza dikenakan hukuman.

“Saya akan melakukan sedaya upaya untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menghentikan penderitaan, memastikan kerajaan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengekalkan harapan terhadap penyelesaian dua negara,” katanya.

UK sebelum ini telah mengenakan sekatan terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, selain penemdatang haram radikal serta pertubuhan yang dikaitkan dengan mereka.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI