Suami Isteri Didakwa Baling Bom Petrol, Bakar Dan Simbah Cat
IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan khianat, termasuk membaling bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan harta benda pada awal bulan lepas.
M. Dhinakaran dan B. Rahtheneswary, masing-masing berusia 34 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mereka yang dikaitkan dengan kegiatan along didakwa membaling sebotol bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan pada lima rumah dan sebuah kereta di dua lokasi berasingan di Pekan Razaki dan Taman Kledang Suria, Menglembu antara 4 hingga 5 pagi pada 4 dan 11 Jun lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan pada pintu masuk sebuah rumah di Jalan Menglembu Bestari kira-kira 3.30 pagi pada 12 Jun lepas.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan pertama dan kedua, serta RM10,000 bagi pertuduhan ketiga, selain memohon syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM11,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes dan pelantikan peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Dhinakaran didenda RM7,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat merah pada harta milik tiga individu pada awal bulan lepas.
Perbuatan yang didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun yang sama itu, dilakukan di tiga lokasi berbeza sekitar Ipoh dan Menglembu antara 4 hingga 8 Jun 2026.
Bagaimanapun, Rahtheneswary mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama.
Mahkamah membenarkan Rahtheneswary diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 dan 19 Ogos untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira dan S. Nishaalini, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S. Gnanarajan, Intan Shafini Mior Shahrin, E.P. Seeralasittan dan Canice Chan Hong Yan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PM Anwar Seru Anak Johor Pulang Mengundi, Pilih Kepimpinan Beramanah
- Fahmi Antara Penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang Tahun Ini Dengan Gelaran Datuk Seri
- Bekas Pengawal Peribadi Terlepas Hukuman Mati Kerana Edar Dadah
- CMG Lancar Program Khas ‘Winning With AI+’ Di Geneva
- PRN Johor: Pelajar Di China Bersemangat Pulang Mengundi Demi Tanggungjawab