10/07/2026 04:42 PM

Produk Babi Sejuk Beku Tanpa Permit RM6.19 Juta Dirampas Di Miri, Seorang Ditahan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan merampas pelbagai jenis produk babi sejuk beku disyaki diimport tanpa permit sah bernilai RM6.19 juta dalam serbuan Op Taring Chiller di sebuah gudang di Miri, Sarawak, malam tadi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan 8 malam itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Miri.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati 30,000 kilogram (kg) usus besar babi sejuk beku yang telah dimasak, 15 palet daging babi (18,000 kg) dan satu palet daging babi (750 kg) ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya juga menyita palet produk perut babi dan palet daging bahagian bahu babi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan satu kompaun sebanyak RM25,000.00 dikeluarkan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Julai lepas, WCB/PSK JKDNKA melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan seramai 375 individu.

Mohd Yusri berkata operasi sepanjang tempoh itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, makanan sejuk beku, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM264,864,070.51.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan demi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA