Polis Tahan Sembilan Warga China Disyaki Terbabit Penipuan Saham
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Polis menahan sembilan lelaki warga China disyaki terbabit aktiviti penipuan saham dalam talian di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek, yang berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun, ditahan dalam serbuan antara 12 tengah hari hingga 2 petang oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 23 telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan komputer riba dan beberapa peralatan elektronik serta wang tunai RM2,500.
“Siasatan awal mendapati premis terbabit beroperasi sejak dua bulan lepas dengan menyasarkan mangsa warga China.
“Modus operandi sindiket ini berperanan sebagai pasukan sokongan bagi memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan dari sudut pendaftaran akaun melalui laman sesawang yang kononnya platform rasmi syarikat pelaburan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi.
Fadil berkata ketika serbuan, terdapat seorang penyelia dan lapan pekerja yang masing-masing ditawarkan gaji RM3,000 sebulan.
Kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Seru Anak Johor Pulang Mengundi, Pilih Kepimpinan Beramanah
- Fahmi Antara Penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang Tahun Ini Dengan Gelaran Datuk Seri
- Bekas Pengawal Peribadi Terlepas Hukuman Mati Kerana Edar Dadah
- CMG Lancar Program Khas ‘Winning With AI+’ Di Geneva
- PRN Johor: Pelajar Di China Bersemangat Pulang Mengundi Demi Tanggungjawab