Filipina Gesa ASEAN Perkukuh Daya Tahan Maritim Serantau Berdepan Risiko Geopolitik
Oleh Linda Khoo
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Filipina menggesa ASEAN memperkukuh daya tahan laluan maritim utama, termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan, bagi melindungi perdagangan serantau, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro berkata gangguan baru-baru ini di Selat Hormuz menunjukkan bagaimana gangguan terhadap laluan perkapalan utama boleh meningkatkan harga tenaga, mencetuskan inflasi, mengancam keselamatan makanan serta mengganggu rantaian bekalan global.
"Rantau kita amat terdedah berikutan tahap integrasinya yang tinggi dalam sistem perdagangan global. Sebarang gangguan besar terhadap laluan perkapalan dan rangkaian logistik boleh menjejaskan kestabilan ekonomi ASEAN, khususnya jika ia mengakibatkan peningkatan kos operasi, kelewatan pengeluaran atau penurunan daya saing.
"Justeru, tindak balas ASEAN perlu memberi tumpuan kepada aspek kesiapsiagaan dan kerjasama praktikal, termasuk memastikan laluan perkapalan kekal selamat dan terbuka, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga, keselamatan makanan, pemudahcaraan perdagangan dan kesalinghubungan," katanya kepada Bernama menerusi temu bual bertulis.
Lazaro berkata ASEAN juga boleh memperkukuh tindak balasnya dengan membangunkan protokol komunikasi dan penyelarasan krisis tambahan, termasuk di peringkat menteri luar, bagi membolehkan rantau ini bertindak balas dengan lebih pantas dan terselaras apabila krisis berlaku.
Beliau berkata cadangan mengenai protokol komunikasi itu dikemukakan semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi di Asia Barat, selain menggesa kerjasama teknikal, perkongsian maklumat dan keupayaan amaran awal dipertingkat bagi membantu mengurus serta mencegah krisis yang berpotensi berlaku.
"Langkah-langkah ini penting kerana keterbukaan, ketelusan dan kebolehramalan akan membantu memudah cara serta meningkatkan keyakinan terhadap kelancaran aliran perdagangan antarabangsa dan pergerakan rantaian bekalan di seluruh rantau ini," katanya.
Dalam usaha memperkukuh kerjasama maritim serantau, Lazaro berkata penubuhan Pusat Maritim ASEAN di Filipina merupakan antara hasil utama di bawah Kepengerusian ASEAN Filipina pada 2026.
Beliau berkata pusat itu akan menyokong ASEAN dan mekanisme yang diterajui ASEAN dalam isu berkaitan maritim, di samping menggalakkan kerjasama merentas sektor dan merentas tonggak dalam kalangan negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 158 Pengantara pro Bono Berdaftar Di Bawah Inisiatif AIAC - Kulasegaran
- Suami Isteri Didakwa Baling Bom Petrol, Bakar Dan Simbah Cat
- Polis Tahan Sembilan Warga China Disyaki Terbabit Penipuan Saham
- Produk Babi Sejuk Beku Tanpa Permit RM6.19 Juta Dirampas Di Miri, Seorang Ditahan
- Lianson Fleet Peroleh Dua Kapal Bernilai RM213.2 Juta Bagi Perkasa Armada Pengangkutan Marin