10/07/2026 01:19 PM

Pelarasan Terhadap OPR Bergantung Pada Data - Gabenor

Oleh M. Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – Pada paras semasa 2.75 peratus, Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah kekal sesuai dan selaras dengan pertumbuhan dan trajektori inflasi Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata bank pusat akan terus menentukur dasar monetarinya berdasarkan trend pertumbuhan dan inflasi yang sentiasa berubah, dengan sebarang pelarasan terhadap kadar penanda aras itu pada masa depan bergantung pada data ekonomi yang diterima.

Penganalisis mengunjurkan bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan menaikkan kadar penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada mesyuarat MPC pada September atau November jika Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Beliau berkata BNM memantau keadaan ekonomi secara berterusan menggunakan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan pelbagai petunjuk berfrekuensi tinggi untuk menilai ekonomi pada masa nyata.

Ini termasuk transaksi pembayaran harian, pembelian kenderaan dan penggunaan elektrik, yang memberikan gambaran semasa mengenai aktiviti ekonomi dan membolehkan penggubal dasar memberi respons dengan cepat terhadap perubahan dalam trend asas ekonomi.

Mengenai sama ada BNM akan mempertimbangkan perubahan terhadap pendirian dasarnya sebelum akhir tahun ini, Abdul Rasheed menegaskan bahawa BNM kekal bergantung pada data ekonomi.

“Kami memantau pelbagai petunjuk ekonomi dengan teliti. Jika terdapat perubahan dalam prospek pertumbuhan dan inflasi, kami akan membuat pelarasan. Itu adalah prinsip panduan kami untuk dasar monetari,” katanya.

Mengenai inflasi, Abdul Rasheed berkata tekanan harga dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang dengan kenaikan harga bahan api global dan tekanan kos lain tetapi dijangka kekal terkawal dan dalam julat unjuran BNM.

Katanya subsidi bahan api RON95 yang berterusan dan pengecualian subsidi diesel bersasar telah membantu mengurangkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna manakala permintaan sederhana telah mengehadkan keupayaan perniagaan untuk menaikkan harga sepenuhnya.

Walaupun 80 peratus pengeluar telah melaporkan kos input yang lebih tinggi, kebanyakannya dapat menyerap sebahagian daripada peningkatan tersebut; hanya sebahagian kecil sahaja memindahkan sepenuhnya kenaikan kos itu kepada pengguna.

“Kami mendapati kenaikan harga tidak berlaku secara meluas atau berterusan. Oleh itu, tekanan inflasi adalah terkawal,” katanya.

Walaupun kadar inflasi dijangka melebihi had atas julat unjuran BNM buat sementara waktu dalam beberapa bulan tertentu tahun ini, Abdul Rasheed berkata inflasi dijangka sederhana selepas itu dan kekal dalam julat unjuran bank pusat antara 1.5 dan 2.5 peratus.

-- BERNAMA