Universiti Sunway Kutip RM4,880 Untuk Persatuan Orang Buta Menerusi Inisiatif Kutipan Dana Di Kampus
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Universiti Sunway berjaya mengumpul dana sebanyak RM4,880 untuk Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menerusi inisiatif kampus selama seminggu bertajuk Claws For A Cause, yang dianjurkan dengan kerjasama syarikat hiburan Space Panda.
Inisiatif yang diadakan di bawah program Campus With A Conscience universiti itu, mengubah permainan claw machine menjadi aktiviti kutipan dana, dengan penyertaan pelajar dan kakitangan sepanjang minggu bagi menyokong usaha kebajikan tersebut.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Sunway Profesor Sibrandes Poppema berkata inisiatif itu, mencerminkan komitmen universiti untuk mewujudkan impak sosial yang bermakna melangkaui kecemerlangan akademik.
"Di Universiti Sunway, misi kami melangkaui kecemerlangan akademik. Inisiatif seperti Claws For A Cause mencerminkan komitmen kami sebagai universiti generasi kelima, yang berpaksikan misi untuk mewujudkan impak bermakna menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.
“Kami berterima kasih kepada Space Panda serta semua pihak yang telah menyumbang kepada usaha ini. Bersama-sama, kita telah membuktikan bahawa tindakan kolektif dan sifat keprihatinan mampu membawa perubahan positif serta memberikan impak yang nyata dalam kehidupan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Space Panda Marcus berkata syarikat itu, berbesar hati dapat menyokong inisiatif berkenaan serta menyumbang kepada MAB.
Beliau berkata syarikat itu percaya bahawa setiap amalan kebaikan, walaupun kecil mampu membawa perubahan yang bermakna dan sokongan kepada sebuah organisasi yang memperkasakan individu kurang upaya penglihatan, amat signifikan.
Menurut kenyataan universiti itu, inisiatif tersebut menyerlahkan nilai kerjasama antara institusi akademik dan industri dalam memacu impak sosial yang positif, sekali gus membuktikan bahawa aktiviti yang mudah boleh diterjemahkan kepada penglibatan komuniti yang bermakna menerusi penyertaan secara kolektif.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Calon Pengganti Starmer, Burnham Ancam Kenakan Sekatan Baharu Terhadap Israel
- Filipina Gesa ASEAN Perkukuh Daya Tahan Maritim Serantau Berdepan Risiko Geopolitik
- Penulis Blog Didenda RM11,000 Buat Komunikasi Jelik Terhadap Ismail Sabri Dan UMNO
- China Gesa Gencatan Senjata Segera Di Ukraine
- Angka Korban Ebola Di Dr Congo Meningkat Kepada 625 Orang