Program Bimbingan INSKEN Terima Pengiktirafan Peringkat Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) terus melakar sejarah apabila berjaya meraih dua anugerah berprestij di Singapura menerusi program bimbingan keusahawanannya pada majlis GovMedia Conference & Awards 2026.
INSKEN, yang berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan lagi prestasi agensi tersebut sebagai antara peneraju dalam pembangunan keusahawanan dan inovasi sosial di peringkat global.
Anugerah yang diterima agensi tersebut ialah Malaysia Digital Initiative of the Year – Training menerusi Program INSKEN Mini Coaching (Marketing) 2025 serta Malaysia Training Programme of the Year – Training menerusi Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim mengucapkan tahniah kepada seluruh warga INSKEN dan rakan strategik yang menyumbang kepada kejayaan tersebut sambil berkata pengiktirafan antarabangsa itu jelas membuktikan bahawa pelaburan kerajaan dalam pembangunan kapasiti usahawan telah menghasilkan impak yang nyata.
Selain itu, katanya, pengiktirafan tersebut turut mengangkat nama Malaysia sebagai sebuah negara yang komited membangunkan ekosistem keusahawanan yang inovatif, inklusif dan mampan.
Sim turut berharap agar kejayaan itu dapat menjadi inspirasi untuk terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan antarabangsa tersebut turut melengkapkan senarai pencapaian membanggakan INSKEN sepanjang 2026 antaranya anugerah Public Social Innovator of the Year 2026 oleh Schwab Foundation di World Economic Forum (WEF) dan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas penganjuran seminar keusahawanan terbesar di Malaysia.
Selain itu, anugerah lain yang turut diterima ialah Entrepreneurship Development & Economic Empowerment Award (Builders) 2026, DPIM Entrepreneurship Impact Award 2026 serta Social Impact Award di Tatler Asia Front & Female Awards 2026.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Korporat INSKEN Dr Maizura Mohamad berkata pengiktirafan antarabangsa tersebut membuktikan dedikasi seluruh warga INSKEN bersama rakan strategik dalam memacu pembangunan keusahawanan sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi negara yang inklusif.
Katanya, pengiktirafan tersebut akan terus menjadi pemangkin kepada INSKEN untuk memperluaskan kerjasama strategik di peringkat domestik dan antarabangsa, di samping memperkukuh pembangunan program yang memenuhi keperluan semasa usahawan melalui inovasi, pendigitalan dan kolaborasi ekosistem.
Maizura berkata sejak penubuhannya 20 tahun lepas, INSKEN telah berkembang daripada sebuah institusi latihan keusahawanan kepada peneraju pembangunan ekosistem keusahawanan negara melalui pelbagai intervensi strategik yang merangkumi pembangunan kapasiti, kolaborasi ekosistem, akses pasaran, advokasi dasar serta inovasi inklusif dan pendigitalan.
“Pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program INSKEN di sepanjang dua dekad yang telah memberi impak signifikan dalam memperkukuh ekonomi, memperkasa perniagaan serta membangunkan komuniti usahawan.
“Antara pencapaian INSKEN adalah melatih dan membimbing lebih daripada 159,859 usahawan, melaksanakan lebih 4,051 program pembangunan keusahawanan, menjana RM22.4 juta hasil jualan perniagaan pada 2025 dan mewujudkan 710 peluang pekerjaan pada 2025,” katanya.
Beliau berkata bersempena dengan ulang tahun ke-20, INSKEN kekal komited untuk terus mencipta impak yang lebih besar melalui pemerkasaan usahawan, memperluas akses pasaran, mengukuhkan kerjasama strategik serta memastikan tiada usahawan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Katanya, INSKEN akan terus menerajui usaha memperkasa pembangunan keusahawanan melalui pelbagai intervensi strategik yang mengukuhkan perniagaan, institusi dan komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekonomi Malaysia yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.
GovMedia Conference & Awards 2026 ialah sebuah platform pengiktirafan antarabangsa yang menghargai kecemerlangan sektor awam dan organisasi dalam bidang inovasi, transformasi digital, pembangunan modal insan serta penyampaian perkhidmatan berimpak kepada masyarakat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: JPJ Diarah Saman Individu Tunggang Motosikal Tanpa Topi Keledar
- Pelarasan Terhadap OPR Bergantung Pada Data - Gabenor
- Ulang Tahun Ke-10, YSIJ Lengkapkan Misi Agihan 2,000 Bakul Makanan
- PRN Johor: Salur Aduan Bahan Kempen Dalam Talian Kepada MCMC - SPR
- Universiti Sunway Kutip RM4,880 Untuk Persatuan Orang Buta Menerusi Inisiatif Kutipan Dana Di Kampus