10/07/2026 01:16 PM

Ulang Tahun Ke-10, YSIJ Lengkapkan Misi Agihan 2,000 Bakul Makanan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) melengkapkan misi agihan bakul makanan bersempena dengan ulang tahun ke-10 penubuhannya, dengan mengagihkan baki 1,000 bakul makanan di empat daerah di Johor pada 8 dan 9 Julai.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, agihan fasa kedua itu melibatkan penerima yang telah dikenal pasti di daerah Tangkak, Muar, Segamat dan Mersing, sekali gus mencapai sasaran keseluruhan sebanyak 2,000 bakul makanan.

Inisiatif khas itu merupakan kesinambungan daripada fasa pertama yang dilaksanakan kelmarin, sebagai manifestasi berterusan keprihatinan institusi diraja Johor dalam menjaga kebajikan serta meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe kepada penghulu mukim dan wakil masyarakat di daerah berkenaan, untuk diagihkan terus kepada golongan sasar.

Turut serta dalam siri pengagihan itu ialah Setiausaha Sulit (Tugas-Tugas Khas) Menteri Besar Johor Muhammad Najhan Abd Rahim.

Terdahulu, sesi pertama pengagihan membabitkan 1,000 bakul makanan, telah dilaksanakan melibatkan penerima di Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru dan Kulai, dengan setiap bakul makanan mengandungi keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula dan barangan kering lain.

Sejak ditubuhkan pada 14 Julai 2016, YSIJ telah melaksanakan pelbagai misi bantuan meliputi sektor kesihatan, pendidikan dan bantuan ihsan kepada rakyat di seluruh Johor.

-- BERNAMA