10/07/2026 09:32 AM

Pelajar Sekolah Menengah Kejar Tiga Rakan Dengan Pisau Pemotong Kertas Selepas Dibaling Ais

ALOR GAJAH, 10 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar sekolah menengah bertindak mengejar dua rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas berikutan berang, selepas dipercayai dibaling dengan ais berkali-kali, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira 2.50 petang di sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan, ketika satu program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati dua pelajar, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun, dipercayai membaling ais beberapa kali terhadap suspek yang merupakan pelajar tingkatan satu.

“Suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan pisau pemotong kertas di dalam bekas pensilnya, sebelum mengejar seorang daripada mangsa kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah dan kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad berkata dua lagi pelajar lelaki yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran suspek.

Beliau berkata bagaimanapun seorang guru berjaya memujuk suspek melepaskan pisau pemotong kertas dipegangnya dan ketiga-tiga mangsa kembali ke dewan selepas keadaan terkawal serta tiada kecederaan dilaporkan.

“Keluarga suspek turut dipanggil ke sekolah sebelum membawa pelajar terbabit pulang dan siasatan mendapati kesemua pelajar terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini.

“Suspek juga dikatakan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun dan pihak sekolah juga sedia maklum mengenai keadaannya,” katanya.

Ahmad berkata laporan polis dibuat guru sekolah berkenaan di sebuah balai polis pada malam tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

-- BERNAMA