09/07/2026 11:13 PM

PRN Johor: Anwar Tekad Noktahkan Isu Klinik Uzur, Bekalan Air Di Rengit

BATU PAHAT, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menoktahkan kemelut klinik uzur dan gangguan bekalan air yang menghimpit penduduk di Rengit bagi memastikan prasarana asas di kawasan itu selari dengan status Johor sebagai sebuah negeri maju.

Beliau berkata isu melibatkan kemudahan kesihatan dan bekalan air bersih adalah hak asas rakyat yang tidak sewajarnya terabai malah perlu diatasi dengan kadar segera.

"Kita ingat klinik itu nak mengubat orang-orang uzur, ini klinik pula yang uzur," katanya pada program Serumpun Kasih Sejiwa Harmoni Grand Finale DUN Rengit di Dewan Kg Bumiputera Dalam di sini malam ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Hadir sama Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Aminolhuda Hassan dan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Yazid Abu Bakar.

Serumpun Kasih Sejiwa Harmoni Grand Finale DUN Rengit itu ialah antara tiga program Anwar di Johor malam ini untuk memberikan dukungan buat calon-calon dan jentera Harapan menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Perdana Menteri berkata aspek keperluan asas seperti bekalan air, perumahan, pendidikan dan fasiliti kesihatan merupakan tuntutan paling mustahak yang wajib diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai kerajaan dan kepimpinan masyarakat agar memikul amanah dengan penuh integriti serta tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

Anwar turut menggesa rakyat agar berani melakukan anjakan dengan memilih wakil rakyat yang sehaluan dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat disalurkan secara lebih efisien dan berkesan.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN merangkumi 20 daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17). 

Secara keseluruhan, seramai 172 calon bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA