Am 08/10/2026 07:16 PM

Pembangunan Bakat Perlu Seiring Hala Tuju Ekonomi Negara - Ramanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pembangunan Bakat Perlu Seiring Hala Tuju Ekonomi Negara - Ramanan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan (tiga, kanan) melakukan gimik perasmian Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp di Bangsar South hari ini. Turut sama, Pengerusi TalentCorp, Elizabeth Wong (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi (kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara khususnya ketika teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau terus mengubah landskap pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan. 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerajaan boleh membawa masuk pelaburan dan teknologi serta membangunkan industri baharu, namun tanpa bakat berkemahiran, perkara itu boleh menimbulkan masalah. 

“Kita perlu melihat lebih awal apakah pekerjaan yang akan berkembang, apakah kemahiran diperlukan dan bagaimana kita menyediakan rakyat Malaysia untuk merebut peluang itu,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu MyBakat anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Connexion Conference & Event Centre (CCEC) di sini hari ini. 

Beliau berkata perkembangan teknologi AI perlu seiring dengan usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja agar masyarakat tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan itu. 

“Kalau kita biarkan AI melangkah ke depan, kita akan ketinggalan. Jadi, kita kena bergerak seiring dengan perkembangan AI. 

“Meskipun AI memberi kesan kepada semua segmen sekali gus menyebabkan orang hilang pekerjaan, tetapi pada masa sama akan ada peluang pekerjaan baharu yang wujud daripada teknologi AI,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, Ramanan berkata TalentCorp dengan kerjasama Ernst & Young menyediakan 22,000 tempat secara percuma bagi latihan AI di seluruh negara menerusi Jelajah AI Mahir. 

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG), dua intervensi yang memperkukuh pendekatan TalentCorp dalam mengenal pasti tahap kesiapsiagaan dan jurang serta membangunkan bakat berdasarkan keperluan industri. 

“MyTRI membantu kita mengenal pasti kesiapsiagaan dan jurang bakat manakala MyBIG pula membantu kita membangunkan bakat berdasarkan keperluan industri. Inilah ekosistem yang kita mahu bina,” katanya.

Ramanan berkata latihan kemahiran itu akan dibiayai TalentCorp dengan tempoh latihan bergantung kepada tahap kepakaran dan program yang lazimnya kurang daripada setahun. 

Mengulas mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata tumpuan kementerian adalah menerusi usaha peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran. 

Beliau berkata kemasukan banyak pelaburan luar ke Malaysia ketika ini mendorong kementerian itu memastikan peluang pekerjaan yang tersedia diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu dan bukannnya pekerja asing.

-- BERNAMA