Am 08/10/2026 07:09 PM

SPR Terima 133 Representasi Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPR Terima 133 Representasi Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 133 representasi berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata representasi itu diperoleh selepas SPR mengadakan Pameran Syor KSP Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak selama sebulan dari 1 hingga 30 Sept.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 126 representasi ialah representasi membantah manakala tujuh lagi ialah sokongan terhadap Syor KSP tersebut.

“Sehubungan dengan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas SPR bagi meneliti dan membincangkan kesemua representasi yang diterima, khususnya representasi yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan Siasatan Tempatan.

“Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tatacara Kajian Semula Persempadanan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata SPR akan membuat ketetapan berhubung proses Siasatan Tempatan selepas Mesyuarat Khas itu dan notis untuk menghadiri prosiding siasatan tempatan akan dihantar kepada semua pihak yang layak selewat-lewatnya dua minggu sebelum prosiding dijalankan.

Dalam menjalankan kajian itu, SPR diberikan tempoh selama dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, iaitu 1 Sept 2026.

Ia sehinggalah laporan akhir kajian dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA