PRN Johor: JAPEN Gerak 26 Unit IOW Galak Rakyat Keluar Mengundi
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JAPEN) Johor menggerakkan sepenuhnya 26 aset unit bergerak Info On Wheels (IOW) bagi menyampaikan hebahan rasmi dan galakan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengarah JAPEN Johor Mohd Rizal Hashim berkata aset berkenaan digerakkan meliputi 10 daerah dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor bagi memastikan maklumat berkaitan proses pilihan raya sampai terus kepada rakyat.
Beliau berkata kekerapan hebahan akan dipertingkat dalam tempoh tiga hari sebelum hari pengundian, khususnya pada waktu pagi dan petang, bagi mengingatkan pengundi supaya menyemak status pemilih serta merancang perjalanan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Pendekatan kita ialah Jabatan Penerangan tidak menunggu rakyat mencari maklumat sebaliknya kita yang turun ke lapangan mencari rakyat.
“Jentera kita giat bergerak dari kawasan bandar yang padat, taman-taman perumahan hinggalah ke kawasan pedalaman, penempatan Felda dan perkampungan Orang Asli,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hebahan yang dilaksanakan itu mempunyai dua matlamat utama iaitu memastikan maklumat asas dan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya seperti tarikh mengundi, semakan status pemilih serta galakan keluar mengundi sampai kepada rakyat.
Mohd Rizal berkata petugas JAPEN turut melakukan advokasi lapangan secara bersemuka bagi menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah yang mudah tular pada musim pilihan raya.
“Kita mahu rakyat di Johor keluar mengundi berdasarkan fakta yang sahih dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Menyentuh mengenai kepentingan mengundi, beliau berkata proses itu bukan sekadar hak sebaliknya tanggungjawab rakyat dalam menentukan hala tuju pembangunan, ekonomi dan kesejahteraan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata pilihan raya adalah ruang paling besar untuk rakyat menggunakan suara mereka sebagai kuasa pemutus dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan.
Sehubungan itu, Mohd Rizal menasihati pengundi supaya merancang perjalanan lebih awal dan tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial sepanjang tempoh pilihan raya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF