Bon Malaysia Jadi Pilihan Pelabur Asing, Catat Aliran Masuk RM4.9 Bilion Pada Jun - Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pelabur asing kembali ke pasaran bon Malaysia pada Jun, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM4.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM4.3 bilion pada Mei, disokong oleh ketegangan geopolitik yang mereda dan keyakinan berterusan terhadap asas ekonomi negara.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam nota penyeldikannya memaklumkan pegangan asing dalam sekuriti hutang Malaysia meningkat kepada RM309.8 bilion pada Jun daripada RM304.9 bilion pada Mei dengan pegangan asing daripada jumlah keseluruhan hutang terkumpul meningkat sedikit kepada 13.2 peratus berbanding 13.1 peratus sebelum ini.
"Aliran masuk asing melonjak antara 10 Jun dan 16 Jun, dengan lebih RM8.0 bilion mengalir masuk ke dalam bon kerajaan berikutan ketegangan AS-Iran yang semakin mereda dan pembukaan semula Selat Hormuz.
"Aliran keluar bon kerajaan pula sebanyak RM3.7 bilion pada 30 Jun telah mengurangkan keseluruhan aliran masuk bersih bagi bulan berkenaan," menurut nota penyelidikan itu.
Kenanga IB menyatakan data ekonomi domestik yang lebih kukuh dan asas ekonomi yang berdaya tahan menyokong sentimen pelabur, tetapi apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) beralih ke arah pendirian kadar faedah yang lebih berhati-hati dan tinggi untuk tempoh lebih lama kekal menjadi cabaran kepada permintaan bon pasaran sedang pesat membangun.
Bank pelaburan itu menjelaskan aliran masuk itu didorong oleh permintaan kukuh terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan bon korporat dan sukuk (CBS), manakala Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) terus mencatatkan aliran keluar.
Menurut Kenanga IB, MGS mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM3.4 bilion pada Jun, beralih daripada aliran keluar bersih RM2.0 bilion pada Mei, manakala pegangan asing kekal tidak berubah pada 33.6 peratus.
Sementara itu, MTB menarik aliran masuk bersih sebanyak RM1.0 bilion, sekali gus melonjakkan pegangan asing kepada 27.7 peratus daripada 5.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagi aliran masuk bersih ke dalam CBS, ia menyederhana kepada RM0.9 bilion daripada RM2.5 bilion sebelum ini, sekali gus meningkatkan pegangan asing kepada 3.0 peratus.
GII terus mencatatkan aliran keluar bersih, walaupun jumlahnya berkurangan kepada RM0.8 bilion daripada RM5.0 bilion pada Mei, dengan pegangan asing susut sedikit kepada 6.4 peratus pada Jun berbanding 6.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Kenanga IB menyatakan di sebalik pemulihan dalam aliran bon, pelabur asing kekal menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia pada Jun dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM2.4 bilion, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding RM3.6 bilion pada Mei.
"Aliran keluar tertumpu terutamanya dalam sektor perkhidmatan kewangan serta produk dan perkhidmatan pengguna, walaupun sentimen pelabur bertambah baik pada pertengahan bulan berkenaan," tambahnya.
Kenanga IB turut memaklumkan pasaran modal Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM2.5 bilion pada Jun, beralih daripada aliran keluar bersih RM7.8 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Pada masa hadapan, Kenanga IB menyatakan Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menarik aliran masuk asing, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal, penarafan berdaulat yang stabil, kerangka dasar kewangan yang boleh dijangka dan kecairan domestik yang tinggi.
"Walaupun terdapat aliran keluar pada awal Julai, kami kekal positif terhadap prospek hutang tempatan, memandangkan ringgit yang semakin baik dan risiko geopolitik yang lebih rendah dijangka menyokong permintaan pelabur dan memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai tempat perlindungan yang selamat," jelas nota itu lagi.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- RHB Investment Bank Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPI 2026 Pada 4.9 Peratus
- NSM: Malaysia Perlu Ambil Tindakan Undang-undang, Diplomatik Terhadap Norway - Ahmad Zahid
- Kerajaan Kaji Hukuman Lebih Berat Kes Pencemaran Marin
- Prestasi Kerja Meningkat Selepas Laksana Aturan Kerja Fleksibel - KESUMA
- Sukarelawan Orang Asli Terlibat Sar Jaslinda Terima Sijil Penghargaan JBPM Perak