PM Anutin Optimis Sasaran Dagangan US$30 Bilion Thailand-Malaysia Dicapai Menjelang 2027
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Thailand yakin sasaran dagangan dua hala dengan Malaysia yang bernilai US$30 bilion (US$1=RM4.073), dapat dicapai menjelang tahun depan, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.
Ketika berkongsi keyakinan itu, beliau berkata Malaysia juga merupakan rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN dan nilai dagangan dua hala itu pada masa ini mencecah kira-kira US$28 billon.
"Kita yakin dapat mencapai sasaran US$30 bilion itu dalam masa terdekat susulan kerjasama yang sedang diusahakan ketika ini.
“Selain itu, kita akan turut mengadakan perbincangan dalam kalangan jawatankuasa perdagangan bersama untuk menetapkan sasaran perdagangan baharu yang lebih besar,” kata beliau.
Anutin berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kedua-dua pemimpin itu menyaksikan majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Anutin turut berkongsi kesediaan Thailand untuk menyokong penuh usaha bagi meningkatkan rantaian nilai dan bekalan serantau dengan bersandarkan kekuatan kedua-dua ekonomi yang saling melengkapi.
“Bagi kemajuan masa depan, kita akan menumpukan aspek keterjaminan makanan dan tenaga serta ekonomi digital, termasuk industri berteknologi tinggi,” kata beliau.
Sementara itu, mengulas sasaran perdagangan dua hala itu, Anwar berkata Malaysia akan berusaha gigih bagi mencapai sasaran berkenaan dengan Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menumpukan usaha berkaitan.
“Kita perlu memulakannya dengan isu-isu asas ekonomi dan perdagangan bagi mengukuhkan persahabatan serta kerjasama dalam semua bidang, termasuk pelancongan,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anutin bagi meneliti perkembangan hubungan Malaysia-Thailand serta membincangkan langkah untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang.
Anutin yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini atas undangan Anwar, tiba pada jam 11.11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ini merupakan lawatan pertama Anutin ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai perdana menteri pada Mac 2026 dan lawatan itu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta memperdalam kerjasama dalam bidang dengan kepentingan bersama Thailand-Malaysia.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- RHB Investment Bank Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPI 2026 Pada 4.9 Peratus
- NSM: Malaysia Perlu Ambil Tindakan Undang-undang, Diplomatik Terhadap Norway - Ahmad Zahid
- Kerajaan Kaji Hukuman Lebih Berat Kes Pencemaran Marin
- Prestasi Kerja Meningkat Selepas Laksana Aturan Kerja Fleksibel - KESUMA
- Sukarelawan Orang Asli Terlibat Sar Jaslinda Terima Sijil Penghargaan JBPM Perak