09/07/2026 03:59 PM

PRN Johor: SPR Nasihat Pemilih Berdaftar Semak Lokasi, Saluran Undi Lebih Awal

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dinasihatkan untuk memeriksa lokasi pusat mengundi serta saluran undi lebih awal sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan semakan itu boleh dibuat melalui portal rasmi mysprsemak.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

"Jom jalankan kewajipan kita sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-16," menurut SPR menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.

Selasa lepas, sebanyak 19,471 pengundi terdiri daripada 7,960 anggota tentera dan pasangan, 11,511 anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan membabitkan 56 calon masing-masing daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, selain Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (empat).

Turut bertanding calon daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta enam calon Bebas.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA