Am 08/10/2026 10:12 AM

Berstatus Negeri Paling Menua, Perak Berisiko Saksi Peningkatan Kes Kematian Sunyi

Oleh Nur Afiradina Binti Arshad Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Berstatus Negeri Paling Menua, Perak Berisiko Saksi Peningkatan Kes Kematian Sunyi
Gambar hiasan.

Isu kematian sunyi, atau meninggal seorang diri di rumah dan hanya disedari selepas beberapa hari dilihat kian meningkat di negara ini. Artikel pertama daripada laporan dua bahagian ini mengupas permasalahan tersebut dalam konteks negeri Perak yang mempunyai jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi.

 

Walaupun menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk diabetes dan darah tinggi, Jahara Hashim tetap bersemangat ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), yang terletak kira-kira 30 minit dengan berbasikal dari rumahnya di Kampung Changkat Manong di sini.  

Masakan tidak, di PAWE, warga emas berusia 75 tahun ini dapat menyertai pelbagai aktiviti bersama-sama dengan rakan sebaya berbanding melayan kesunyian di rumah, yang didudukinya seorang diri sejak suaminya meninggal dunia 22 tahun lalu dan kedua-dua anak mereka berumah tangga.

 Sekalipun berulang kali diajak si anak agar tinggal bersama-sama dengan mereka, Jahara bertegas untuk tinggal seorang diri di rumahnya, dan bagi merawat kesunyian yang dirasai seiring dengan peningkatan usia, PAWE di pekan Manong menjadi penawar.

Rutin hariannya sejak lima tahun lalu ialah berkayuh ke PAWE seawal 8 pagi dan pulang ke rumah kira-kira 1 tengah hari. Secara tidak langsung juga rutinnya itu menjadi rujukan bagi petugas dan rakan-rakannya di PAWE seandainya sesuatu yang diingini berlaku pada wanita tersebut.

“Memang anak-anak risau juga (berkayuh basikal setiap hari ke PAWE), kalau berlaku apa-apa pada mak cik, mereka suruh berehat saja di rumah. Tetapi, duduk di rumah pun bosan juga,” jelasnya kepada Bernama.

Menurut Jahara, anak-anaknya sentiasa berhubung, bertanya khabar dan menjengahnya setiap minggu. 

 

 JASAD TIDAK BERNYAWA DI SEBALIK PINTU

Jahara mungkin tinggal bersendirian, namun keberadaannya dan tahap kesihatan dirinya sentiasa dalam pemantauan keluarga dan juga rakan-rakan di PAWE. Namun, tidak semua individu tinggal bersendirian menjalani kehidupan seperti Jahara ini.

Kerap kali media melaporkan penemuan jasad yang sudah berhari-hari tidak bernyawa di rumah dan naratifnya hampir sama - tinggal bersendirian.  

Maju Johor
Di Perak, terdapat lebih kurang 23 buah PAWE terletak di seluruh negeri tersebut.

Di Jepun, penemuan jasad individu tinggal bersendirian yang mereput di rumah bukan perkara baharu. Dikenali sebagai fenomena “kodokushi” dalam istilah Jepun atau kematian sunyi, sejak kebelakangan ini kian banyak laporan media tentang kematian seorang diri di rumah yang hanya disedari selepas beberapa hari, di negara ini.

Menurut laporan media yang memetik pakar Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim, yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, dianggarkan terdapat sekitar 3,500 kes kematian bersendirian setahun di seluruh Malaysia.

Beliau membuat unjuran itu berdasarkan data mikro, mengambil contoh Perlis yang mempunyai populasi sekitar 300,000 orang. Negeri itu merekodkan 80 kes kematian mengejut secara bersendirian dalam tempoh 2022 hingga Ogos 2024.

Mereka melibatkan pelbagai peringkat usia dengan ciri-ciri seperti warga emas yang tidak pernah berkahwin, tiada anak atau diabaikan keluarga; penghidap penyakit kronik dan gangguan mental yang tinggal berasingan daripada komuniti; serta golongan belia masih bujang yang tinggal bersendirian di bandar. 

Dalam konteks Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak merekodkan 15 kes mangsa ditemukan meninggal dunia bersendirian di dalam rumah sepanjang tempoh 2021 hingga Julai tahun ini. Daripada jumlah itu, empat kes masing-masing dilaporkan pada 2025 dan setakat Julai 2026, menunjukkan berlaku trend peningkatan.

Situasi itu membimbangkan memandangkan Perak mendahului negeri-negeri lain sebagai paling menua dengan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan sekitar 15.3 peratus daripada 2.58 juta penduduk Perak telah berusia 60 tahun, sementara  peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas pula mencecah 10.8 peratus.

Justeru, peningkatan jumlah warga emas yang tinggal bersendirian, ditambah penghijrahan anak-anak ke bandar serta perubahan struktur keluarga, menjadikan isu kematian sunyi bukan lagi sekadar kes terpencil, sebaliknya cabaran sosial yang memerlukan perhatian keluarga, komuniti dan kerajaan.

 

PELBAGAI PERINGKAT USIA DAN PERANAN KOMUNITI

Mengulas isu itu, Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata 15 kes tersebut hanya melibatkan JBPM Perak yang menerima panggilan kecemasan orang awam atau polis, meminta bantuan pihak mereka untuk membuka pintu atau jeriji kediaman bagi mengeluarkan mangsa yang dipercayai terperangkap.  

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, jasad ditemukan dengan keadaan mula mereput dan mengeluarkan bau. Malah, ada kes yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih seminggu.

Maju Johor
Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon.

“Kes tidak hanya melibatkan warga emas, tetapi juga individu berusia 30-an dan 40-an. 

“Namun, kita melihat semakin ramai warga emas tinggal seorang di rumah kerana anak-anak berhijrah atau bekerja jauh. Selain itu, ada juga pasangan berkahwin tidak ada anak dan tinggal berjauhan atas tuntutan pekerjaan,” jelasnya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam situasi sedemikian, apabila berlaku kemalangan di rumah ke atas golongan ini, mereka berkemungkinan besar berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan tepat pada masanya.  

“Oleh itu, saya mengingatkan anak-anak yang tinggal berjauhan supaya sentiasa menghubungi ibu bapa dan menyimpan nombor telefon jiran terdekat bagi memastikan keadaan mereka dapat dipantau.

“Pada masa sama, jiran serta masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat terhadap warga emas atau individu yang tinggal bersendirian di kawasan masing-masing,” katanya.

Sayani berkata ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta masyarakat setempat perlu mengetahui jumlah individu berisiko di kawasan masing-masing bagi memudahkan bantuan disalurkan ketika kecemasan atau bencana.

Katanya, kerjasama antara agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak berkuasa tempatan serta institusi agama juga penting bagi mengumpulkan data dan merangka langkah lebih menyeluruh untuk melindungi warga emas yang tinggal bersendirian.

“Perak juga dikenali sebagai antara negeri pilihan untuk bersara dan mempunyai ramai warga emas. Jadi, ada kemungkinan jumlah mereka yang tinggal bersendirian akan terus meningkat.

“Data JBPM boleh membantu, tetapi perlu ada kerjasama antara agensi untuk mengkaji aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan golongan berkenaan,” ujarnya.

 

PROGRAM UNTUK WARGA EMAS 

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) Jamilah Zakaria berkata kerajaan memperkenalkan pelbagai program pemerkasaan warga emas dalam usaha menjaga kebajikan golongan tersebut, khususnya yang tinggal bersendirian.

“Sepertimana yang kita tahu, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) ada menyediakan PAWE di setiap daerah. Di Perak kita ada lebih kurang 23 buah PAWE, maka kerajaan negeri berkolaborasi dengan JKM dan PAWE, menyediakan program-program yang berteraskan pemerkasaan warga emas di PAWE.

Maju Johor
Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) Jamilah Zakaria

“Jadi, peluang untuk mereka bergerak ataupun bermasyarakat masih ada walaupun mereka tinggal berseorangan,” ujarnya dalam temu bual dengan Bernama.

Menurut beliau,  kesemua program itu direka bagi memastikan kesejahteraan warga emas terjamin, antaranya We-Fit yang bertujuan menjaga kesihatan dan kecergasan golongan tersebut.

“Menerusi program We-Fit yang kita perkenalkan di daerah-daerah, kita memberi maklumat berkenaan dengan pemakanan yang sihat. Kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri dan juga PKD (Pejabat Kesihatan Daerah). Menerusi  kolaborasi ini, mereka bawa pakar diet mereka agar warga emas tahu porsi yang perlu mereka ambil, jumlah kalori dan lain-lain. 

“Pada masa sama, menerusi ‘roadshow’ yang kita akan jalankan di 12 dearah in,i kita kumpul data mengenai jumlah warga emas dan tahap kesihatan mereka di setiap daerah. Daripada data ini kita boleh rancang program bersesuaian untuk daerah berkenaan,” jelasnya. 

Beliau berkata program ini turut memberi fokus kepada pengumpulan data tahap kesihatan warga emas melalui penilaian komposisi badan, khususnya peratusan lemak dan jisim otot. 

"Data ini digunakan sebagai asas meningkatkan kesedaran akan risiko sarkopenia, iaitu kehilangan jisim, kekuatan dan fungsi otot yang berkaitan dengan peningkatan usia. Melalui saringan dan pendidikan kesihatan, warga emas dapat memahami keadaan tubuh mereka serta digalakkan mengambil langkah pencegahan melalui aktiviti fizikal, latihan kekuatan dan pemakanan yang bersesuaian," katanya