PRN Johor: NGO Sedia Enam Bas Percuma, KTMB Ganda Kapasiti Tren Bawa Pulang Pengundi
Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Marfika Adnan Haris Fadzilah
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Stesen Pemantauan Rakyat, menyediakan enam bas percuma bagi membawa pulang 240 pengundi dari Kuala Lumpur dan Singapura untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Wakil NGO berkenaan, Yong Shui Wen berkata perkhidmatan itu merangkumi empat bas dari Kuala Lumpur manakala dua lagi khusus untuk pengundi dari Singapura yang akan mengambil penumpang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
"Bas-bas ini akan menuju ke beberapa destinasi seperti Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pekan Nanas, Segamat, Labis, Kluang, Ayer Hitam dan Kulai.
"Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor akan bermula pada 9 malam esok (Jumaat). Bagi perkhidmatan dari CIQ BSI pula, bas akan bergerak pada 9 malam (Jumaat) dan 9 pagi Sabtu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan inisiatif itu sejak 2018 dan menerima sambutan memberangsangkan daripada pengundi Johor yang tinggal di luar negeri itu sehinggakan kesemua tempat duduk ditawarkan telah habis.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut mengambil langkah proaktif menggandakan kapasiti tempat duduk bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke selatan tanah air bermula esok (Jumaat) hingga Ahad ini bagi menampung lonjakan permintaan sempena pilihan raya itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral, sebanyak 7,560 tempat duduk tambahan disediakan menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti mencecah 15,120 tempat duduk.
Beliau berkata setakat 7.45 pagi tadi, sebanyak 84 peratus atau 12,769 tempat duduk bagi laluan tersebut telah terjual, hanya berbaki 2,351 tempat duduk untuk ditempah.
"KTMB juga menambah jumlah tempat duduk bagi laluan Gemas – JB Sentral – Gemas daripada 630 kepada 4,410 dalam tempoh sama bagi memudahkan pergerakan penduduk di dalam Johor untuk keluar mengundi.
"Setakat pagi ini, sebanyak 47 peratus atau 2,064 tempat duduk telah ditempah dan baki tempat duduk yang masih tersedia ialah sebanyak 2,346," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, semakan Bernama menerusi aplikasi KTMB Mobile mendapati tiket bagi beberapa waktu puncak pada Jumaat dan Sabtu ini hampir habis terjual, namun orang ramai dinasihatkan untuk terus menyemak status tiket dari semasa ke semasa.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF