08/07/2026 11:34 PM

GPMS Cadang Saringan Kesihatan Mental Berkala Di Semua Institusi Pendidikan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan pelaksanaan saringan kesihatan mental secara berkala di semua institusi pendidikan bagi mengenal pasti pelajar berisiko lebih awal.

Setiausaha Agung GPMS Wafiyuddin Musa berkata sistem saringan berjadual itu perlu dijadikan prosedur wajib bagi mengesan pelajar berisiko tinggi pada peringkat awal sebelum tekanan yang dialami membawa kepada tindakan di luar kawalan.

“GPMS memandang serius kes tikaman yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Banting tempoh hari dan melahirkan kebimbangan terhadap krisis kesihatan mental, kemurungan serta tekanan emosi yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar di negara ini.

“GPMS percaya krisis ini bukanlah fenomena baharu tetapi satu lagi episod duka yang mencerminkan kegagalan menangani isu kesihatan mental belia secara menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata GPMS turut mencadangkan pengukuhan mekanisme pembimbing rakan sebaya dan laluan khas bimbingan kaunseling termasuk mewujudkan laluan pantas rujukan terus kepada pakar psikologi.

Bagi tujuan itu, GPMS turut menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan strategik kepada kementerian dalam menjayakan program sokongan berkenaan.

Wafiyuddin berkata GPMS turut mengesyorkan supaya dasar perlindungan kesejahteraan emosi diperkasakan menerusi penyelarasan merentas kementerian selain kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan dan media.

Pada masa sama, GPMS menggesa kempen kesedaran antibuli dan dasar toleransi sifar terhadap buli di institusi pendidikan dipertingkatkan.

“Bagi menyokong usaha ini, GPMS dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan sedang menganjurkan Kempen Komunikasi Antibuli 2026: Rakan Muda Prihatin Lawan Buli @ Safe Zone melibatkan peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi (IPT) serta masyarakat awam,” katanya. 

-- BERNAMA