08/07/2026 11:27 PM

Iran Tutup Semua Lapangan Terbang Di Hormozgan Atas Faktor Keselamatan - Laporan

ISTANBUL, 8 Julai (Bernama-Anadolu) -- Iran menutup semua lapangan terbang di wilayah selatan Hormozgan sehingga dimaklumkan kelak susulan keadaan keselamatan semasa, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita separa rasmi Mehr pada Rabu.

Ketua Pengarah Lapangan Terbang Hormozgan Kazem Tavasoli berkata semua lapangan terbang di wilayah itu ditutup dan semua penerbangan dibatalkan.

"Susulan keadaan semasa di bahagian selatan negara ini, semua lapangan terbang di Hormozgan  ditutup dan semua penerbangan dibatalkan," kata Tavasoli seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau berkata sebarang keputusan untuk membuka semula lapangan terbang akan diumumkan menerusi saluran rasmi.

Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Rabu, di luar Sidang Kemuncak NATO di Ankara, Turkiye bahawa memorandum persefahaman dengan Iran telah "berakhir."

Wilayah Hormozgan terletak di sepanjang Selat Hormuz, yang menyaksikan ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan serangan yang dilaporkan terhadap kapal komersial serta serangan balas antara Iran dan AS.

Penutupan lapangan terbang itu berlaku ketika Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan 85 lokasi tentera AS, termasuk Pelabuhan Salman, Markas Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta Pangkalan Udara Ali Al-Salem di Kuwait, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.

Sementara itu, tentera AS memaklumkan yang mereka melancarkan satu lagi gelombang serangan terhadap Iran dengan menyasarkan lebih 80 lokasi sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.

Menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), serangan itu dilaksanakan "sebagai tindak balas segera terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz."

-- BERNAMA-ANADOLU