08/07/2026 06:36 PM

PM Anwar Lulus Pelanjutan Tempoh Pelepasan Cukai TAR UMT Selama 10 Tahun

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai peranan khas universiti itu dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.

“Ini termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun, selaras dengan keperluan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Feb lepas, Perdana Menteri dalam program Temu Anwar di kampus TAR UMT mengumumkan bahawa semua badan dan yayasan pendidikan akan menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun termasuk universiti berkenaan.

-- BERNAMA