08/07/2026 06:33 PM

18 Jurulatih Wanita Sertai Program Biasiswa Kejurulatihan FIFA

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 18 jurulatih wanita dari seluruh negara dipilih menyertai Program Biasiswa Pendidikan Kejurulatihan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu Kursus Kejurulatihan Diploma AFC ‘B’ Wanita.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan program itu yang dilaksanakan dengan kerjasama FIFA, bertujuan meningkatkan standard kejurulatihan bola sepak wanita negara.

Menurut FAM, program biasiswa itu memberi peluang kepada peserta meningkatkan pengetahuan kejurulatihan, kemahiran kepimpinan serta kecekapan praktikal menerusi modul pembelajaran komprehensif.

“Kursus ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu Blok Praktikal yang berlangsung dari 7 hingga 18 Julai 2026, diikuti Blok Teori dari 21 Sept hingga 2 Okt 2026.

“Sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran, para peserta turut akan menjalankan analisis perlawanan sepanjang Piala Wanita Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2026 yang akan berlangsung Jumaat ini,” menurut hantaran itu.

FAM memaklumkan program itu diketuai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM Soleen Al-Zoubi, manakala barisan tenaga pengajar terdiri daripada Ketua Pendidikan Kejurulatihan FAM merangkap Ketua Jurulatih Pendidik Lim Kim Chon, dibantu dua Penolong Jurulatih Pendidik Iqbal Hanafi Masduki dan Leila Chua.

Turut menyumbang kepakaran dalam kursus itu ialah Ketua Prestasi Tinggi FAM Reuben Jude Balraj serta Jurulatih Pendidik Penjaga Gol Lim Chuan Chin.

“Melalui penganjuran program ini, FAM berharap lebih ramai jurulatih wanita dapat diperkasakan dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperlukan untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak wanita negara di semua peringkat,” menurut badan induk itu.

-- BERNAMA