PM Thailand Lawat Malaysia, Rasmi Jalan Baharu Bersama Anwar
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula Khamis, dengan kesalinghubungan sempadan dan pertanian antara agenda utama perbincangan bagi memperkukuh kerjasama dua hala.
Lawatan itu, yang pertama buat Anutin sejak dilantik semula sebagai perdana menteri pada Mac 2026, adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anutin akan diiringi oleh isterinya, Thananon Charnvirakul serta anggota jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa setibanya beliau pada Khamis, Anutin akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Bunga Raya diikuti dengan pertemuan dua hala dengan Anwar di Kompleks Perdana Putra, dengan kedua-dua pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.
"Semasa pertemuan dua hala itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan sempadan, keselamatan, pertanian, pelancongan, pendidikan serta hubungan antara rakyat," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa dalam kerangka ASEAN serta mekanisme kerjasama serantau yang lain.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama dalam sektor itu.
Anwar seterusnya akan meraikan Anutin serta delegasi Thailand dalam satu majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Pada Jumaat, Anwar dan Anutin dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Baharu antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand. Kedua-dua pemimpin itu akan diiringi anggota jemaah menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari kedua-dua negara.
Lawatan Anutin adalah sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat pemimpin antara kedua-dua negara, susulan lawatan kerja Anwar ke Bangkok pada 17 April tahun lepas serta lawatan bekas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra ke Kuala Lumpur pada 16 Disember 2024.
"Lawatan ini mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua negara selaku jiran tetangga dan negara anggota ASEAN," menurut Wisma Putra.
Pada 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM118.57 bilion (US$27.73 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM31.33 bilion (US$7.90 bilion), berbanding RM27.35 bilion (US$6.15 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2025.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Minit Muhyiddin Adalah Arahan Perlu Dipertimbangkan, Ambil Tindakan - Tengku Zafrul
- Piala Dunia Taolu: Cheong Min Ungguli Nangun, Pui Yee Raih Perak Qiangshu
- Mesir Mahu Pasukan Pengadil Digantung Sepanjang Baki Piala Dunia
- PRN Johor: Kempen Digital Kian Rancak Tiga Hari Sebelum Pengundian
- Niaga Hadapan KLCI Ditutup Rendah