08/07/2026 04:16 PM

Malaysia-UAE Perkukuh Hubungan Dua Hala, Teroka Bidang Kerjasama Strategik

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia dan  Emiriah Arab Bersatu (UAE) komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan meneroka kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara, Majlis Kebangsaan Persekutuan UAE Dr Ali Rashid Al Nuaimi di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik semasa, termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran serta implikasinya terhadap rantau ini.

Beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh mengenai kepentingan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam sektor pertahanan dan tadbir urus.

“Saya menyambut baik perkongsian pengalaman UAE yang mewajibkan para menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan mengikuti latihan AI bagi memastikan kepimpinan sentiasa bersedia mendepani perubahan teknologi yang semakin pesat,” katanya.

Perdana Menteri juga mengulangi komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan UAE demi manfaat bersama serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

-- BERNAMA