08/07/2026 05:34 PM

PRN Johor: Penyokong PH Dinasihatkan Berkempen Secara Matang, Elak Tindak Balas Provokasi

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Penyokong Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya sentiasa berkempen dengan bersih, matang dan berhemah serta tidak bertindak balas terhadap sebarang tindakan provokasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup Cheah Chee Hong berkata persaingan politik semasa pilihan raya hanya bersifat sementara namun hubungan kemasyarakatan di Kukup perlu dikekalkan untuk selamanya.

“Pilihan raya hanya berlangsung beberapa hari, tetapi kita semua akan terus hidup sebagai jiran dan masyarakat di Kukup. Menang atau kalah, hubungan sesama kita perlu terus dipelihara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Cheah berkata semua pihak perlu berkempen secara bermaruah, menghormati antara satu sama lain serta membenarkan rakyat membuat penilaian berdasarkan idea, rekod dan tawaran setiap calon, bukannya melalui provokasi mahupun vandalisme.

Beliau berkata sebarang tindakan merosakkan bahan kempen parti lawan bukan budaya tempatan.

“Kelmarin di Penerok, saya dimaklumkan satu daripada sepanduk kempen saya diconteng dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Dalam demokrasi, setiap orang berhak membuat pilihan. Kita boleh berbeza pandangan, menyokong parti berlainan dan bertanding di gelanggang yang sama, tetapi rasa hormat sesama kita tidak seharusnya hilang hanya kerana perbezaan politik,” katanya.

Pada PRN Johor ke-16 Sabtu ini, DUN Kukup menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Cheah dan calon Barisan Nasional (BN) Md Israk Abdullah.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N56: KUKUP: 34,968 pengundi

1. Md Israk Abdullah (BN-UMNO)

2. Cheah Chee Hong (PH-PKR)

(2022: Datuk Jefridin Atan: BN-UMNO: Maj: 8,201)