NADMA Dilantik Pusat Tumpuan Nasional Di Bawah UNFCCC, Perkukuh Akses Malaysia Kepada Dana Iklim
PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dilantik sebagai Pusat Tumpuan Nasional bagi Dana untuk Menangani Kerugian dan Kerosakan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memaklum ini bagi memperkukuh akses negara kepada pembiayaan antarabangsa berkaitan impak perubahan iklim.
Cadangan itu dipersetujui pada Mesyuarat Ketujuh Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut diadakan bagi memperkukuh hala tuju tindakan iklim negara melalui keputusan strategik untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
“Mesyuarat berkenaan turut meneliti empat kertas pertimbangan dan satu kertas makluman yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan rendah karbon,” menurut NRES.
Selain itu, NRES memaklumkan tiga pelan tindakan strategik bagi menyokong Nationally Determined Contribution (NDC) 3.0 Malaysia kepada Perjanjian Paris turut dipertimbangkan iaitu Pelan Tindakan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender serta Strategi Pembiayaan dan Pelaburan.
Ketiga-tiga pelan tindakan berkenaan akan menjadi pemangkin pelaksanaan komitmen iklim negara secara inklusif, adil dan mampan bagi memastikan manfaat peralihan kepada ekonomi rendah karbon dinikmati semua lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, antara perkara lain yang dibincangkan ialah persiapan penyertaan Malaysia ke Persidangan Negara Ahli Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP31) di Antalya, Türkiye bagi memperkukuh komitmen negara dalam rundingan perubahan iklim di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat itu juga menerima pembentangan Laporan Iklim dan Pembangunan Negara yang diterbitkan oleh Bank Dunia sebagai rujukan strategik dalam memperkukuh dasar serta agenda pembangunan ekonomi rendah karbon negara.
Status pelaksanaan Program Bandar Rendah Karbon yang diterajui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut dibentangkan dengan program itu terus menunjukkan kemajuan positif dalam menyokong pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta memperkukuh pembangunan bandar yang mampan.
Mesyuarat berkenaan dihadiri para Menteri Persekutuan, Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil mereka, Ketua Setiausaha Negara serta pakar dalam bidang perubahan iklim.
Menurut NRES, kerajaan kekal komited memperkukuh tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim melalui pendekatan menyeluruh melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, institusi kewangan, komuniti dan rakyat.
Ini bagi memastikan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen di bawah Perjanjian Paris.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Inisiatif Nikah Jamaie Syarie Bantu Ringan Kos Majlis Perkahwinan
- PRN Johor: Penyokong PH Dinasihatkan Berkempen Secara Matang, Elak Tindak Balas Provokasi
- Kerjasama Persekutuan, Negeri Penting Jayakan Agenda Perubahan Iklim Negara - PM
- Empat Dekad Pasang Bendera, "Wira Tak Didendang" Azlan Ayob Kini Pilih Paip PVC
- PM Thailand Lawat Malaysia, Rasmi Jalan Baharu Bersama Anwar