49 Mengaku Tidak Bersalah Kes Penipuan Pelaburan Dalam Talian
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 7Julai (Bernama) -- Seramai 49 daripada 57 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pindaan berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Korea Selatan, bulan lepas.
Pertuduhan pindaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan konspirasi jenayah, menggantikan pertuduhan asal di bawah Seksyen 120B(2) kanun yang sama, iaitu melakukan pakatan jahat jenayah dengan memperdaya mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan.
Kesemua 49 tertuduh, terdiri daripada 48 warga China dan seorang rakyat Malaysia, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Melissa Chia.
Sementara itu, lapan warga Vietnam sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan asal mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan.
Kesemua tertuduh didakwa terbabit dalam konspirasi jenayah berkaitan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan warga Korea Selatan menerusi aplikasi KnowChat dan Telegram.
Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes, manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Nov ini.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan kepada Zen Chuizen dan Xu Mutao, manakala enam lagi tertuduh sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan, menjadikan keseluruhan lapan tertuduh diberikan ikat jamin.
Baki 41 tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Yousuf Tahir Mahmood.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi polis di sebuah premis di Jalan Dewan di sini pada kira-kira 8.40 pagi, 1 Jun lepas.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Festival Filem Raintown Catat Peningkatan 47.6 Peratus Penyertaan
- Kerajaan Cadang Pinda Akta 530, Benar Lebih Satu Rumah Di Lot FELDA - Anwar
- FIFA Puji Pengadil Yang Dilabel "Mencurigakan" Oleh Trump
- Skim NCM Industri Automotif Dirombak, Sasar Dilaksanakan Pada 2027 -- Johari
- Pasaran Getah Ditutup Lebih Rendah