07/07/2026 06:34 PM

Festival Filem Raintown Catat Peningkatan 47.6 Peratus Penyertaan

IPOH, 7 Julai (Bernama) -- Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 menerima 152 penyertaan, iaitu peningkatan sebanyak 47.6 peratus berbanding 103 penyertaan yang diterima pada edisi tahun lepas.

Sekretariat Festival Filem Raintown dan West Coast Expressway (WCE) dalam kenyataan bersama memaklumkan, perkara itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Festival Filem Raintown sebagai antara platform penting dalam perkembangan industri perfileman bebas negara.

Peningkatan penyertaan itu turut memperlihatkan keyakinan komuniti perfileman terhadap Festival Filem Raintown, yang semakin diiktiraf sebagai platform mengetengahkan karya asli, meraikan penceritaan tempatan dan menghubungkan pembikin filem dengan khalayak industri.

"Selepas melalui proses penilaian oleh panel juri bebas yang dianggotai lima ahli, sebanyak 20 filem terbaik dipilih sebagai finalis untuk bersaing dalam lapan kategori anugerah sempena festival yang akan berlangsung di Taiping pada September ini," menurut kenyataan itu.

Pengasas Festival Filem Raintown Jacky Yeap berkata festival berkenaan kini berkembang melangkaui identitinya sebagai acara komuniti di Taiping, selain pembikin filem dari seluruh negara semakin mengenali Raintown dan setiap tahun menyaksikan peningkatan jumlah serta kualiti penyertaan.

Yeap berkata perkara itu juga membuktikan festival berkenaan semakin diyakini sebagai platform berprestij untuk memperkenalkan karya masing-masing.

Sokongan sektor korporat turut menjadi pemangkin penting kepada perkembangan festival itu apabila menerima sokongan daripada WCE sejak tahun lepas sebelum ramai pihak dapat melihat potensinya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Lyndon Alfred Felix berkata WCE komited menyokong pembangunan komuniti melalui inisiatif yang mampu memperkasakan bakat tempatan dan memelihara warisan budaya.

Lyndon berkata WCE percaya setiap perjalanan mempunyai kisah yang wajar dikongsikan dan mereka berbangga dapat menyokong festival itu, yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai platform perfileman pada peringkat nasional.

"Kami berharap bakat-bakat tempatan akan terus mengangkat kisah yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, sekali gus merakamkan warisan dan keunikan komuniti di sepanjang koridor West Coast Expressway," kata Lyndon dalam kenyataan yang sama.

Sebanyak 20 karya yang disenarai pendek mewakili kepelbagaian landskap perfileman Malaysia, melibatkan pengarah profesional, pelajar jurusan perfileman, pembikin filem baharu serta peserta yang kembali menyertai pertandingan daripada edisi terdahulu.

Karya yang dipertandingkan merangkumi filem naratif, dokumentari, animasi dan sinema eksperimental, dengan setiap satu menampilkan tafsiran tersendiri terhadap tema tahun ini, "After the Rain".

Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik daripada WCE, selain festival itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak, Port Ipoh, Ahli Parlimen Taiping serta pelbagai rakan industri.

Edisi ketiga festival itu dijadualkan berlangsung pada Sept 2026 bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA