Kerajaan Cadang Pinda Akta 530, Benar Lebih Satu Rumah Di Lot FELDA - Anwar
MARAN, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah diarahkan untuk menyediakan draf pindaan akta berkenaan dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini.
“Sekarang ini, lebih kurang 8,000 unit rumah telah disiap dibina, yang telah diduduki sejak 31 Dis 2025...sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik, segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka FELDA dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata urusan penyediaan bekalan air tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua 8,000 rumah berkenaan.
Beliau berkata projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), yang dilaksanakan sejak 2013, melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah membabitkan tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Perdana Menteri berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 tapak merangkumi 2,458 unit (29.8 peratus) telah siap dengan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), manakala 13 tapak (2,546 unit atau 30.9 peratus) masih dalam pembinaan, dengan 12 tapak disasarkan siap secara berfasa.
Anwar berkata pada tahun ini, projek PGBF akan dilaksanakan di Besout, Perak melibatkan 102 unit diikuti Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (540 unit).
“Sebaik selesai, projek tersebut akan bersambung di Sungai Koyan (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit).
“Kita bersambung tahun berikutnya, Kerteh 5, Terengganu (110 unit) dan disambung dengan Palong 8 Tapak A & B, Negeri Sembilan (300 unit), barulah kita sambung dengan Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan (300 unit),” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit PGBF yang terbengkalai di Bukit Aping Timur dan Pasak, Johor serta Kerteh 5, Terengganu.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menyelesaikan projek Sentuhan Kasih FELDA (SKF) di dua tapak Laka Selatan, Kedah melibatkan 86 unit, dan 100 unit di Palong 16, Negeri Sembilan bagi kebajikan dan kesejahteraan generasi baru FELDA.
Menurutnya, sebanyak 31,954 Lot Generasi FELDA juga telah dikenal pasti memerlukan tindakan segera, termasuk 15,438 lot di Johor, 244 lot di Kelantan, Terengganu (137 lot), Negeri Sembilan (100 lot) dan Pahang (16,000 lot).
Perdana Menteri berkata kerajaan turut memperuntukkan RM450 juta bagi membiayai kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah petugas FELDA di tanah rancangan.
Sementara itu, Anwar berkata Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri akan diadakan pada Ogos untuk membincangkan mengenai kertas khas melibatkan Akta Tanah dan isu berkaitan pembinaan rumah generasi kedua.
“Saya percaya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan hadir bersama dengan rakan-rakan menteri untuk menggesa kerajaan negeri bekerjasama penuh supaya dapat kita laksanakan dengan dana tambahan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kerjasama erat serta komitmen berterusan dalam memudah cara pelbagai urusan.
Hadir sama pada majlis hari ini Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Polis Tahan Tiga Warga Myanmar Yang Lari Selepas Kemalangan
- Tiga Ditahan Disyaki Terlibat Kegiatan Seluk Saku Di Jonker Walk
- Program Pengakuan Khas Sukarela e-Invois Ditawar Kepada Tiga Kategori Pembayar Cukai
- Dewan Rakyat Cadang Kuasa SUHAKAM Diperluas, Gubal Akta Pelarian
- Kontraktor Rugi RM98,800 Ditipu "Cikgu Adam"