07/07/2026 04:33 PM

PRN Johor: Bukan Lagi "Pak Turut", Gen Z Pilih Calon Berpandukan Merit

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Tanggapan sesetengah pihak kononnya pengundi seawal usia 18 tahun masih hijau dan “buta” politik ternyata meleset apabila generasi Z (Gen Z) kini membuktikan mereka jauh lebih bermaklumat hasil dominasi informasi di hujung jari.

Kematangan politik yang dipamerkan kelompok pemilih kali pertama ini menyaksikan pengaruh tradisi atau pendekatan “mengikut telunjuk keluarga” dalam menentukan keputusan di peti undi kini semakin terhakis dan tidak lagi relevan.

Senario itu secara tidak langsung memberikan isyarat jelas kepada parti-parti politik agar tidak lagi sekadar bersandarkan strategi sentimen kekeluargaan atau memujuk ibu bapa bagi mempengaruhi undi anak-anak mereka.

Bagi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Emmanuel Praveen Tobias, 18, hak mengundi ialah hak individu yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, termasuk ahli keluarga.

"Majoriti anak muda sekarang mengundi mengikut pilihan dan cita rasa sendiri. Tradisi mengikut pilihan ibu bapa semakin kurang dalam kalangan kami. 

“Walaupun saya tidak berkesempatan mengikuti kempen untuk mengenali calon dengan lebih dekat, hasil tinjauan yang dibuat di media sosial, saya boleh meneliti profil setiap calon sebelum membuat keputusan," katanya kepada Bernama.

Senada dengan prinsip itu, pengundi DUN Mengkibol, Nur Izzati Kamaruddin, 19, yang mengakui bahawa landskap pemikiran anak muda hari ini sudah mengalami anjakan paradigma berbanding generasi terdahulu yang sekadar “mengikut kiblat” politik penjaga.

Penuntut Kolej Vokasional (ERT) Azizah itu berkata berbekalkan akses maklumat tanpa had, anak muda enggan lagi disuap dengan dakwah politik tradisional yang tidak membawa nilai tambah kepada masa depan mereka.

"Sebelum ini, mungkin kita hanya mengikut (calon) yang emak dan ayah pilih, tetapi sekarang tidak lagi. Saya sendiri akan lihat akaun TikTok serta Instagram setiap calon untuk menilai gerak kerja mereka sebelum membuat keputusan," katanya.

Sementara itu, pengundi DUN Perling, Ramshatul Adawiyah Rosli, 18, pula berkata kebebasan memilih membolehkan golongan muda menilai pemimpin secara lebih kritis berdasarkan kualiti hujah dan tawaran dasar, berbanding hanya bersandarkan populariti.

Katanya, pendedahan awal terhadap wacana politik mematangkan sudut pandangnya untuk menuntut dasar kebajikan yang lebih progresif seperti pengukuhan sistem pendidikan dan kesejahteraan pelajar.

"Semestinya kami mahukan calon yang dekat dengan rakyat, khususnya anak muda seperti kami. Situasi ini memudahkan kami menilai kredibiliti seseorang calon dan kemampuan mereka menyampaikan idea," katanya yang lebih cenderung kepada calon yang aktif dan bertenaga.

Trend mengundi itu turut dikongsi Muhammad Fitri Salpularshari, 19, di DUN Parit Yaani, dan Elysa Smau Bigat, 18, bagi DUN Skudai yang menyifatkan akses terbuka di dunia maya sebagai instrumen penting untuk menyaring aspek integriti dan rekod perkhidmatan calon.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Nazreena Mohammed Yasin bersetuju wujudnya anjakan ketara dalam corak tingkah laku politik pengundi muda dan pemilih kali pertama pada masa ini.

Beliau berkata jika dahulu, pengaruh keluarga memainkan peranan dominan dalam membentuk kecenderungan politik, situasi hari ini memperlihatkan golongan muda lebih cenderung bersikap mandiri dan analitikal.

"Bagaimanapun, pengaruh keluarga tidak hilang sepenuhnya, cuma bukan lagi faktor penentu mutlak bagi semua pengundi muda. Mereka kini lebih berani mempersoalkan dan membandingkan maklumat," katanya.

Menurut Nazreena, ledakan media sosial mengubah cara generasi muda berinteraksi dengan dunia politik apabila mereka kini mengikuti perbahasan, manifesto dan kenyataan calon secara langsung melalui platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube.

"Pengundi kali pertama dikesan lebih kritikal dengan meletakkan aspek personaliti, kredibiliti, kemampuan menyampaikan idea, rekod perkhidmatan, serta keupayaan calon menyelesaikan isu setempat sebagai kayu ukur penting, di samping identiti parti yang diwakili," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa landskap digital yang mencabar menuntut tahap literasi media yang tinggi bagi membolehkan golongan itu menapis lambakan kandungan bersifat manipulatif atau berita palsu.

"Secara keseluruhannya, saya melihat pengundi muda hari ini lebih bersifat berorientasikan isu. Mereka lebih cenderung membuat penilaian berdasarkan isu semasa yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan seperti peluang pekerjaan, pendidikan, atau kos sara hidup serta tawaran dasar parti,” katanya.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal berlangsung hari ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA